Wednesday, 18 March 2015

Sebelum pembedahan itu.



            Dua hari sebelum pembedahan, saya dimasukkan ke dalam wad. Tujuan untuk pembedahan namun minda saya mengatakan saya tidak akan dibedah. Saya sudah berusaha secara alternatif, dan saya yakin ada sedikit sebanyak pengecutan terhadap tumor. Cuma saya tidak tahu bagaimana untuk meberitahu doktor untuk tidak menjalani pembedahan. Lebih-lebih lagi rawatan secara alternatif yang saya terima ini tidak membenarkan untuk saya menjalani sebarang scan untuk tempoh tiga bulan . Saya baru sahaja berubat dengannya selama sebulan setengah.

            Apabila kami (saya dan suami) berbincang dengan doktor tentang kemungkinan tiada pembedahan, muka doktor berubah dan mengatakan saya mesti menjalani pembedahan ini. Ini kerana untuk kes saya, memang perlu untuk menjalani pembedahan. Lebih-lebih lagi kerana sawan saya semakin kerap.

            Suami saya cuba juga memujuk doktor. Bagaimana kalau hasil scan ada menunjukkan pengecutan? Doktor hanya tersenyum. Ya, kalau ada pengecutan pada hasil scan , kita akan bagitahu semula. Namun biasanya, tidak akan ada pengecutan. Hati saya berbunga-bunga riang. Ada kebarangkalian  untuk tidak menjalani pembedahan.

            Namun begitu, sehingga malam sebelum pembedahan, masih tiada sebarang khabar berita daripada doktor tentang hasil scan. Saya mula merasa sedikit tertekan. Saya datang dengan minda tidak mahu menjalani pembedahan, tetapi esok saya akan dibedah. Pembedahan berskala besar melibatkan kepala pula tu. Ya Allah permudahkan semua urusan saya ini. Saya mula merasakan ketakutan yang saya sendiri tidak tahu untuk gambarkan.

            Suami menenteramkan saya. Sabar dengan ketentuan Allah ini. Takdir yang menimpa saya ini jauh lebih sedikit berbanding orang lain. Cuba lihat, orang sebelah katil kita ini. Kasihan dengan dia. Dia dulu memang jiran katil saya tiga minggu yang lepas. Ketika itu, dia baru menjalani pembedahan melalui hidung. Kali ini dia dimasukkan lagi sekali ke wad kerana cecair tidak berhenti-henti keluar dari hidung. Pembedahan pertama belum hilang sakitnya, perlu menjalani pembedahan kedua pula. Masih muda orangnya. Agak-agaknya sebaya dengan saya.

            Ya, betul apa yang suami saya katakan itu. Apa yang perlu saya bimbangkan? Adakah saya takutkan sebuah kematian? Kematian itu pasti, sudah mempunyai tarikhnya. Jika Allah takdirkan tarikh kematian saya pada esok hari, siapa yang mampu menghalangnya. Jika Allah takdirkan saya akan sembuh dengan menjalani pembedahan ini, siapa pula yang mampu mengubah takdir ini. Yang penting, saya sudah memohon maaf dengan suami tercinta. Syurga isteri terletak di bawah kaki suami. Saya juga dah senaraikan apa hutang-hutang yang belum dilunaskan, termasuk hutang puasa. Ya Allah, pada saat ini saya hanya dambakan untuk memasuki syurgaMu dan memperoleh pengampunanMu. Perkenankanlah permohonan hambaMu ini.


 


           

2 comments: