Saya baru sahaja melangkah keluar dari hospital, ditemani
oleh suami. Nasib baik ada suami yang menguruskan segala-galanya. Bahkan yang
tidak berhenti-henti memberikan semangat. Saya memang sangat berterima kasih
kepadanya. Namun begitu, saya terlupa satu perkara yang sangat penting.
Siapakah yang sebenarnya memberikan nikmat suami yang baik kepada saya?
Bukankah Allah Yang Maha Mengatur yang memberikan nikmat ini?
Hati saya banyak berterima kasih kepadanya, tanpa
menghubungkait dengan Allah. Ya, saya memohon kesembuhan daripada Allah. Namun,
pada masa yang sama, saya banyak bergantung harap kepada suami untuk
menguruskan segala-galanya. Tanpanya saya merasakan kehidupan saya akan
gelap-gulita.
Allah tegur secara terus kepada saya tentang hal ini. Suami
yang dalam pandangan saya seorang yang sihat, tiba-tiba terbaring lemah. Makan
minumnya juga sudah tidak berselera. Allahu Rabbi. Apa yang berlaku ini? Sudah
terbalik pula, saya pula yang cuba sedaya-upaya menjaga dirinya. Dia demam
panas.
Akhirnya, selepas menjalani pemeriksaan di hospital, dia
disahkan menghidap penyakit denggi. Saya ketika itu di rumah bercucuran air
mata mendengar khabar berita ini. Ujian
apa ini Ya Allah untuk hambaMu? Alhamdulillah, kami di sini dikelilingi oleh
adik-beradik suami yang boleh diminta tolong pada bila-bila masa. Saya sudah
tidak boleh memandu kereta kerana penyakit saya ini.
Suami saya ditahan di hospital selama empat atau lima
malam, untuk memastikan demam denggi surut. Selama itulah, saya bermuhasabah
sendirian di rumah, sambil menjaga anak-anak. Ketidakhadiran suami di rumah
betul-betul terasa kehilangannya.
Ya Allah, maafkanlah diriku kerana tersalah meletakkan
tempat pergantungan hidup. Suamiku hanyalah makhluk ciptaanMu. Hanya Engkau
tempat kami meminta pertolongan dan bertawakal atas segala urusan dunia dan
akhirat.
Ya Allah Ya Tuhanku, Engkaulah Yang Maha Mendengar segala
rintihan hambaMu. Engkau sembuhkanlah penyakit denggi suamiku. Siapa lagi yang
mampu menyembuhkan selain diriMu. Ya Allah Ya Tuhanku, Engkaulah Yang Maha
Agung.
Peristiwa ini benar-benar memberi kesan kepada hati saya.
Jangan sekali-kali meletakkan pergantungan hidup kepada makhlukNya. Hanya Allah
tempat kita bertawakal. Betapa sayangnya Allah terhadap saya, kerana terus
mendapat teguran secara khusus ini. Syukur kepada Allah kerana hanya mengambil
suami saya selama lima hari. Masa itu cukup untuk saya bermuhasabah ke atas
kekurangan diri saya.
Selepas suami dibenarkan keluar , kami mengadakan sedikit
jamuan makan keluarga untuk meraikan kesihatan suami yang sudah sembuh. Saya
memang sangat gembira ketika ini. Namun, pada malam itu sekali lagi saya
mengalami sawan. Mungkin kerana kepenatan. Oh, minda saya cuba berfikir
positif! Alhamdulillah kerana saya mengalami sawan ketika suami saya di rumah.
Jika hanya bersama anak-anak, saya tidak dapat gambarkan apa tindakan mereka.
Orang dewasa tidak panik menghadapi pesakit sawan. Kanak-kanak mungkin
sebaliknya. Ya, segala-gala yang berlaku semuanya ada bahagian positif. Tinggal
kita sahaja untuk memikirkan secara positif atau negatif.
No comments:
Post a Comment