Dua hari sebelum pembedahan, saya dimasukkan ke dalam
wad. Tujuan untuk pembedahan namun minda saya mengatakan saya tidak akan
dibedah. Saya sudah berusaha secara alternatif, dan saya yakin ada sedikit
sebanyak pengecutan terhadap tumor. Cuma saya tidak tahu bagaimana untuk
meberitahu doktor untuk tidak menjalani pembedahan. Lebih-lebih lagi rawatan
secara alternatif yang saya terima ini tidak membenarkan untuk saya menjalani
sebarang scan untuk tempoh tiga bulan . Saya baru sahaja berubat dengannya
selama sebulan setengah.
Apabila kami (saya dan suami) berbincang dengan doktor
tentang kemungkinan tiada pembedahan, muka doktor berubah dan mengatakan saya
mesti menjalani pembedahan ini. Ini kerana untuk kes saya, memang perlu untuk
menjalani pembedahan. Lebih-lebih lagi kerana sawan saya semakin kerap.
Suami saya cuba juga memujuk doktor. Bagaimana kalau
hasil scan ada menunjukkan pengecutan? Doktor hanya tersenyum. Ya, kalau ada
pengecutan pada hasil scan , kita akan bagitahu semula. Namun biasanya, tidak
akan ada pengecutan. Hati saya berbunga-bunga riang. Ada kebarangkalian untuk tidak menjalani pembedahan.
Namun begitu, sehingga malam sebelum pembedahan, masih
tiada sebarang khabar berita daripada doktor tentang hasil scan. Saya mula
merasa sedikit tertekan. Saya datang dengan minda tidak mahu menjalani
pembedahan, tetapi esok saya akan dibedah. Pembedahan berskala besar melibatkan
kepala pula tu. Ya Allah permudahkan semua urusan saya ini. Saya mula merasakan
ketakutan yang saya sendiri tidak tahu untuk gambarkan.
Suami menenteramkan saya. Sabar dengan ketentuan Allah
ini. Takdir yang menimpa saya ini jauh lebih sedikit berbanding orang lain.
Cuba lihat, orang sebelah katil kita ini. Kasihan dengan dia. Dia dulu memang
jiran katil saya tiga minggu yang lepas. Ketika itu, dia baru menjalani
pembedahan melalui hidung. Kali ini dia dimasukkan lagi sekali ke wad kerana
cecair tidak berhenti-henti keluar dari hidung. Pembedahan pertama belum hilang
sakitnya, perlu menjalani pembedahan kedua pula. Masih muda orangnya.
Agak-agaknya sebaya dengan saya.
Ya, betul apa yang suami saya katakan itu. Apa yang perlu
saya bimbangkan? Adakah saya takutkan sebuah kematian? Kematian itu pasti,
sudah mempunyai tarikhnya. Jika Allah takdirkan tarikh kematian saya pada esok
hari, siapa yang mampu menghalangnya. Jika Allah takdirkan saya akan sembuh
dengan menjalani pembedahan ini, siapa pula yang mampu mengubah takdir ini. Yang
penting, saya sudah memohon maaf dengan suami tercinta. Syurga isteri terletak
di bawah kaki suami. Saya juga dah senaraikan apa hutang-hutang yang belum
dilunaskan, termasuk hutang puasa. Ya Allah, pada saat ini saya hanya dambakan
untuk memasuki syurgaMu dan memperoleh pengampunanMu. Perkenankanlah permohonan
hambaMu ini.
Berdebar baca. Semoga baik baik saja
ReplyDeleteHehe K.Ed.
ReplyDeleteInsya Allah semuanya baik-baik.