Saya
percaya kepada kuasa doa. Pastinya berdoa hanya kepada Yang Maha Esa. Hanya Dia
yang mampu memakbulkan segala doa. Pasti Dia akan memakbulkan doa kita semua,
bergantung kepada caraNya samada cepat ataupun lambat. Dia Tuhan Yang Maha
Agung.
Sepanjang
saya tidak sihat, bahkan sehingga sekarang, tidak putus-putus orang berdoa
untuk kesejahteraan diri saya. Allahu Rabbi, terasa diri ini terlampau kerdil. Siapalah
saya untuk terus menerus menerima doa yang banyak ini. Hanya Allah yang mampu
membalas semua perlakuan yang baik ini. Semoga Allah limpahkan rahmatNya ke
atas kita semua.
Sesetengah
orang jika sakit, tidak mahu memberitahu orang lain hatta kepada keluarga
terdekat sendiri. Bagi saya, sekurang-kurangnya keluarga terdekat perlu maklum
tentang keadaan kesihatan kita. Kenapa ya? Ini penting untuk terus memantau
keadaan diri kita. Sekurang-kurangnya ada yang terus mengingatkan kita untuk
makan ubat.
Bagi
yang masih ada ibu bapa, ketahuilah kita ada satu saluran doa mustajab.
Ketahuilah bahawasanya doa ibu adalah doa yang mustajab. Mohonlah kepada ibu,
tolong doakan saya ibu. Saya tidak sihat. Saya ada banyak tanggungjawab lagi
yang perlu diselesaikan. Saya masih ada anak-anak kecil yang perlu dijaga.
Tolonglah ibu, doakan saya. Doakan supaya saya kembali sihat. Sihat untuk terus
beribadah kepada Allah dan menjaga keluarga saya sendiri. Tolonglah saya ibu. Jika
ibu bangun tahajud, selitkanlah doa untuk saya. Allah Maha Mendengar doa
hambaNya. Lebih-lebih lagi jika dipanjatkan pada waktu satu pertiga malam.
Seorang
doktor alternatif memberitahu, jangan
bagitahu orang lain bahawasanya kita tidak sihat. Ini kerana minda kita
bertindakbalas dengan apa yang orang kata. Contohnya apabila orang pertama yang
kita jumpa menegur pucatnya muka kita. Tiga orang yang berikutnya juga menegur
perkara yang sama. Terus kita merasakan badan kita seram sejuk seperti hendak
demam dan tidak sihat. Padahal, badan kita elok-elok sahaja.
Bagi
saya, boleh jika kita memberitahu orang lain. Jika saya mengambil keputusan
untuk tidak memberitahu, sudah pasti blog ini tidak akan terhasil. Namun, ada
satu perkara yang teramat penting di sini. Usah ambil peduli apa yang orang
kata. Terus-menerus katakan kepada diri sendiri. Saya yang mengawal kesihatan
dalaman saya. Saya sihat. Jika saya kepenatan, saya hanya perlu tidur dan
selepas itu saya akan bangun dengan badan yang sihat. Ya, saya pesakit kanser.
Namun kanser boleh hilang dengan mengamalkan pemikiran positif. Sentiasa berbaik-sangka.
Sentiasa mengamalkan emosi positif. Sentiasa senyum walaupun kepada diri
sendiri. Biar orang mengatakan kita gila kerana senyum sendiri, namun saya
tidak kisah kerana itulah ubat sebenar untuk penyakit saya ini.
Berdoalah
hanya kepada Yang Maha Esa. Letakkan pergantungan sepenuhnya kepadaNya. Hanya
Dia yang mampu Menyembuhkan. Ikhtiar dari kita, jadilah seorang yang positif.
Insya Allah kita akan sihat.
No comments:
Post a Comment