Saya sebenarnya memang merancang untuk tidak menjalani
pembedahan kepala ini, atas beberapa sebab peribadi. Itu mengikut perancangan
kerdil seorang manusia. Fikiran saya asyik memikirkan risiko buruk, lebih-lebih
lagi ini adalah pembedahan yang berskala besar. Sebahagian besar bahagian
kepala saya akan dibedah, aduh ngeri rasanya.
Namun begitu, kuasa Allah lebih besar, mengatasi segala
yang lain. Tiga minggu sebelum tarikh pembedahan, saya mengalami sawan dua
malam berturut-turut. Ini belum pernah saya alami sebelum ini. Malah, pada
malam kedua ini, sawan yang saya alami sebanyak lima kali. Sebelum ini, hanya
sekali pada satu masa. Saya dihantar ke hospital menggunakan ambulans , pada
mulanya ke Hospital Kajang, kemudiannya dibawa ke hospital PPUM. Sepanjang
malam itu memang saya tidak sedar. Sedar-sedar sudah di PPUM dan hanya tersedar
sekelip mata di dalam ambulans. Saya ingatkan itu hanya mimpi, rupa-rupanya
benar.
Saya ditahan di dalam wad beberapa hari untuk memastikan
diri stabil. Alhamdulillah tidak sawan ketika berada di hospital. Pada mulanya
berada di wad neuro-icu. Kemudian dipindahkan ke wad neuro biasa. Di wad ini, di
sebelah katil saya ialah seorang cikgu wanita berusia awal 50-an. Baru sahaja
menjalani pembedahan kepala untuk membuang tumor.
Cikgu ini memang peramah orangnya. Tak berhenti-henti dia
bercerita dengan jiran-jiran katilnya. Tampak ceria dan sentiasa senyum. Dia
menjalani pembedahan beberapa hari yang lepas. Saya berfikir sendirian,
bagaimana dia boleh tampak ceria selepas pembedahan? Apa rahsianya dan tak
sakit ke? Pengalaman sendiri menjalani pembedahan untuk bersalin masih
terbayang-bayang di mata. Memang rasa sakit, namun terubat apabila menatap bayi
anugerah Allah yang comel. Jika pembedahan kepala ini, apa yang akan mengubat
rasa sakit ini?
Cikgu ini bercerita kisahnya. Alhamdulillah Allah
kurniakan kepada dia kesembuhan yang cepat. Doktor mengatakan itu mungkin
kerana faktor usianya yang muda. Dia menyatakan jika saya menjalani pembedahan
nanti, dengan izin Allah akan lebih cepat sembuh kerana saya lebih muda
daripadanya. Saya hanya tersenyum kelat mendengarnya. Maklumlah, saya merancang
untuk tidak menjalani pembedahan.
Namun begitu, memang saya mendapat inspirasi daripada
cikgu ini. Dia berfikiran positif atas apa yang berlaku ke atas dirinya. Saya
rasa, fikiran positif ini membantu dirinya untuk lebih cepat sembuh selepas
menjalani pembedahan kepala berskala besar ini. Tidak dinafikan juga, pasti dia
banyak berdoa kepada Allah, memohon Allah mudahkan segala urusannya. Kelihatan
juga ahli keluarganya yang datang turut memberi semangat untuk dirinya.
Ya, saya juga sama seperti dia. Apa yang saya perlu
rungsingkan? Saya memiliki Allah tempat untuk saya bergantung. Saya mempunyai
ahli keluarga yang tidak berhenti-henti memberi semangat, terutamanya suami,
ibu dan ibu mertua. Saya juga mempunyai saudara-mara dan sahabat-sahabat yang
tidak putus-putus menziarahi, memberi sumbangan kewangan, meberi sokongan dan
berdoa kepada saya. Tinggal lagi saya perlu berfikiran positif bagi menjalani
pembedahan ini.
Ya Allah! Mudahkanlah segala urusan saya. Engkau
jadikanlah supaya saya tidak perlu menjalani pembedahan ini. Itulah doa saya
sepanjang masa. Betapa besarnya ketakutan saya terhadap pembedahan. Namun
begitu, suami menegur saya. Bukan begitu cara kita berdoa. Kita berdoa kepada
Allah supaya menyembuhkan penyakit ini, tidak kira cara mana sekalipun. Kita
berdoa juga supaya diberikan kekuatan untuk menempuh bersama-sama penyakit ini.
Siapalah kita untuk menentukan cara mana Allah ingin sembuhkan diri kita.
Siapalah kita untuk menentukan penawar untuk penyakit ini. Boleh jadi melalui
pembedahan lebih baik. Boleh jadi juga tanpa pembedahan pula akan sembuh.
Semuanya di tangan Allah. Yang penting, kita berusaha mencari penawarnya.
Saya
terkedu seketika. Kurang betul rupa-rupanya cara saya berdoa sebelum ini.
Lantas, pada hari-hari terakhir sebelum pembedahan, doa saya bertukar. Ya
Allah, kurniakanlah apa yang terbaik untuk hambaMu ini. Sembuhkanlah diriku
daripada penyakit ini. Aku redha Ya Allah dengan ketentuan ini. Terima kasih cikgu!

No comments:
Post a Comment