Saya
dimasukkan ke wad sementara, sebelum menunggu untuk dimasukkan ke wad sebenar.
Sebelah katil saya ada seorang wanita cantik yang bermuka tersangat ceria.
Masih muda. Agak saya, mungkin pertengahan 30-an. Sementara di sisinya,
suaminya yang berwajah agak kusut.
Kami berbual-bual kosong. Pada mulanya hanya
sekitar mengenai kadar parking di PPUM yang agak mahal. Oh, patutlah si suami
berwajah kusut. Mungkin memikirkan beban kewangan yang perlu dihadapi nanti.
Lebih-lebih lagi jika berada lama di hospital.
Kemudian
si isteri bertanya, kenapa saya masuk hospital. Saya memberitahu kerana
klaustrophobia MRI scan. Perlu masuk wad kerana perlu menjalani prosedur
sedation untuk MRI scan pada esok hari. Sekadar berbasa-basi, saya juga
bertanya kepadanya, kenapa masuk hospital. Wanita cantik tersebut menjawab
kerana esok dia akan menjalani pembedahan kanser payudara. Saya terus terdiam.
Kuatnya semangat wanita ini, secantik wajah yang Allah kurniakan kepadanya. Dia
mengatakan, dia sudah menjalani chemotherapy dan radiotherapy, tapi masih belum
sembuh sepenuhnya. Pembedahan ini adalah langkah terakhir. Kansernya jenis
kanser yang cepat merebak dan sudah stage 3.
Allahu
Rabbi. Lidah saya kelu untuk berkata-kata. Ya, pada masa ini saya memang takut
dengan perkataan kanser. Siapa di dunia ini yang mahukan penyakit kanser ini
kan? Pada masa ini juga, saya belum tahu saya mempunyai ketumbuhan yang
merupakan kanser di dalam kepala.
Wanita
itu berkata lagi, dia sudah tidak takut apa-apa, segala-galanya diserahkan kepada
Allah. Kelihatan suami di sisinya senyum kelat. Allah Ya Allah, saya memang
rasa sangat simpati pada waktu itu. Inilah ujian daripada Allah untuk menguji
hambaNya.
Kemudian,
wanita itu dipanggil untuk masuk ke wad sebenar. Dia turun daripada katil dan
menuju ke kerusi roda, sambil dibantu oleh suaminya. Dengan jelas, saya dapat
lihat keadaan fizikalnya yang agak susut. Semasa duduk atas katil, tidak
perasan pula keadaan bahagian bawah badannya yang agak mengecil. Dia tersenyum
gembira sambil mengucapkan salam kepada saya.
Hati
saya bagai disentuh-sentuh. Kuatnya semangat wanita ini. Bagaimana dia mampu
tersenyum gembira di saat dia menghidapi penyakit yang ditakuti ramai ini?
Bagaimana dia boleh ceria di saat dia akan menjalani pembedahan pada keesokkan
harinya? Pada masa itu, saya tidak pernah terfikir sebarang kemungkinan akan
menghidap penyakit yang sama.
Cantiknya
susunan takdir Allah. Dia membiarkan hati saya kagum dengan semangat wanita
cantik ini . Selepas MRI scan, saya dikejutkan dengan berita wujudnya
ketumbuhan di dalam bahagian otak. Allahu rabbi. Saiznya juga agak besar.
Ketumbuhan maknanya ada kemungkinan kanser atau bukan kanser. Ya Allah, saya kemungkinan ada kanser! Air
mata sudah bercucuran di pipi. Sudah sebak hati ini.
Doktor
memberitahu perlu menjalani pembedahan dengan kadar segera. Perlu pilih untuk
biopsy sahaja atau buang terus seluruh ketumbuhan. Diberi masa lebih kurang
seminggu untuk buat keputusan. Saya sudah tidak mampu berfikir lagi. Mujurlah
ada suami yang menguatkan diri saya. Sabar, sabar dan sabar. Semua ini
ketentuan Allah. Balik nanti kita istikharah sama-sama, Mana yang terbaik untuk
diri kita.
Suami
saya mengingatkan lagi tentang wanita cantik yang saya jumpa beberapa hari
lepas. Bukan saja-saja Allah jumpakan kita dengan dia. Allah nak kita ada
kekuatan untuk melawan ketumbuhan ini. Berfikiran positif seperti dia. Ramai
lagi yang lebih teruk sakitnya daripada kita. Hati saya sedikit sejuk selepas
mendengar penerangan suami. Kepada wanita cantik itu, ketahuilah saya memang
sangat-sangat berterima kasih dengan anda. Anda memberikan saya semangat untuk
melawan penyakit ini. Sakit saya ini sikit sahaja, berbanding dengan yang anda
tanggung. Saya doakan Allah limpahkan rahmatNya ke atas anda.
No comments:
Post a Comment