Monday, 17 August 2015

Mudahkan Kehidupan

     Hidup ini penuh dengan ujian. Kadang-kadang kita memerlukan satu pertolongan yang memudahkan kita melalui hidup ini dengan mudah. Ibarat ketika sedang menduduki peperiksaan di zaman sekolah dulu, tiba-tiba pen yang kita gunakan semuanya tiada dakwat,termasuk pen tambahan yang kita sediakan. Masa berjalan dengan pantas sedangkan kita perlu menjawab soalan tersebut dengan segera. Pertolongan tiba apabila pengawas peperiksaan meminjamkan pennya untuk kita menjawab soalan.

     Jadi, apa pertolongan yang kita perlukan? Pertolongan itu ialah pertolongan daripada Allah. Bagaimana cara untuk mendapat pertolongan daripada Allah?

     Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!” Maka Jibril mencintainya, lalu Jibril mengumumkan kepada seluruh penduduk langit dan berkata: “Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintailah pula dia oleh kalian semua, maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini “ (HR. Bukhari)

     Menurut apa yang saya dapati daripada kuliah Dato’ Dr’ Fatma di surau berhampiran, antara caranya ialah dengan mengerjakan solat nawafil iaitu solat-solat sunat. Kita boleh bersama-sama mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu untuk permulaannya.

     Saya suka untuk berkongsi kisah saya sendiri. Ya, oleh kerana faktor usia yang muda, memang selalu saya terlepas pandang beberapa amalan sunat yang bagi saya biasanya diamalkan oleh kebanyakan warga emas. Alhamdulillah, Allah uji dengan penyakit ini untuk mengingatkan diri saya tarikh kematian itu tidak mengenal usia, samada tua ataupun muda. Jadi, saya cuba beramal dengan beberapa amalan sunat ini seperti mengerjakan solat sunat sebelum solat fardhu.

     Entah kenapa, saya terasa jiwa saya lebih tenang. Saya rasa hidup saya seringkali dipermudahkan oleh Allah. Pada mulanya saya merasakan ini hanyalah sebuah kebetulan sahaja sehinggalah saya mendengar kuliah Dato’ Dr. Fatma ini. Beliau mengatakan apabila kita disayangi oleh Allah, semua penduduk langit akan suka kepada kita. Apabila semua penduduk langit suka kepada kita, maka penduduk dunia juga akan menyukai kita. Ada sahaja perkara-perkara berlaku yang memudahkan hidup kita.

     Semasa saya masuk ke wad pada bulan puasa yang lalu untuk MRI Scan, ada berlaku perkara yang boleh saya ambil iktibar. Saya sememangnya klaustrophobia, tidak boleh menjalani MRI Scan tanpa menggunakan sedation. Lebih memburukkan keadaan, sebelum ini sudah 2 kali Scan yang saya tidak dapat tidur walaupun sudah sedation. Dada memang berdebar-debar. Rasanya lebih takut nak menjalani MRI Scan daripada pembedahan pula. Suami yang menemani saya berulang kali mengingatkan diri saya. Sabar, ingat Allah banyak-banyak. 10 malam terakhir ini ada malam LalilatulQadar. Ada hikmah tarikh scan pada waktu sekarang. Allah nak kita lebih bertawakal kepadaNya.

     Doktor yang nak masukkan jarum tu pula 6 kali baru dapat jumpa salur darah saya. Aduh, memang saya berkerut juga dahi menahan kesakitan. Dah masuk jarum , siap pusing-pusing lagi lepas tu tak jumpa juga. Saya hanya menahan kesabaran sambil cuba juga tersenyum kepada doktor tersebut. Debaran di dada masih belum hilang mengenangkan MRI Scan.

     Apabila dibawa turun ke bilik MRI Scan, seperti biasa akan diberikan penerangan oleh doktor yang terlibat. Mengejutkan juga kerana yang akan beri sedation ini bukannya doktor biasa, tetapi doktor bius. Rupa-rupanya PPUM sedang di dalam kajian untuk memberikan bius bagi yang klaustrophobia dan saya merupakan hasil kajian yang ke-17. Saya bertanya juga kepada doktor, bagaimana kalau saya tidak tidur juga? Doktor hanya tersenyum menjawab, jangan risau, kerja saya memang tidurkan orang. Akhirnya, memang saya tidur dengan lena.

     Kesimpulannya, memang kita perlukan pertolongan daripada Allah untuk memudahkan kehidupan kita. Saya anggap itu adalah satu pertolongan yang besar apabila PPUM mengadakan kajian tersebut pada waktu saya sepatutnya menjalani scan. Siapa sangka kan? Mungkin ada yang tertanya , jika macam itu kenapa Allah tak tolong ketika saya sedikit kesakitan apabila dicucuk sebanyak 6 kali oleh doktor? Saya merasakan ini satu soalan yang sangat asas. Sedikit kesakitan itu perlu untuk melatih diri kita lebih sabar. Lebih-lebih lagi kesakitan itu menyebabkan dosa-dosa kita yang lalu diampuni oleh Allah. Jadi, fikir sahaja secara positif dan syukuri apa sahaja pertolongan yang Allah berikan.

     Kepada pesakit kanser, saya tahu anda sedang serabut dengan pelbagai perkara yang bermain di fikiran. Saya faham kerana saya juga melaluinya. Nasihat saya hanya satu, lupakan sahaja itu dan mari sama-sama kita cari apa amalan yang boleh menyebabkan Allah menyukai kita. Harus ingat, apabila Allah menyukai kita, bukan sahaja itu untuk memudahkan laluan kita ke syurga , tetapi juga untuk memudahkan kehidupan kita di dunia ini.

Wednesday, 12 August 2015

Beruntung

Mac 2014.

     Ini appointment pertama dengan doktor pakar selepas melakukan biopsy. Alhamdulillah tidak sebesar mana yang ditoreh di kepala, sekadar setengah jengkal. Bahagian kepala juga tidak terasa terlalu sakit, mungkin kerana biopsy hanya mengambil masa yang sekejap dan sekadar mengambil sedikit sel untuk dicek samada kanser atau tak.

     Ada yang bertanya kepada saya. Betul ke tak sakit? Haha, saya tergelak sahaja. Tipulah kalau kata tak sakit. Sebenarnya ia bergantung kepada cara kita memandang kepada sesuatu perkara. Jika kita anggap perkara yang kita lalui ini kecil sahaja, maka kita akan rasa kurang sakit. Jika kita menganggapnya seperti sebesar gunung, maka sepanjang hari kita akan mengeluh tidak selesa.

     Berbalik kepada cerita asal. Dada tetap berdebar-debar. Tidak dapat nak agak apa keputusannya. Kanser atau tak. Ada 2 sahaja pilihan. Seorang bapa saudara saya juga ada tumor di bahagian otak dan dia bernasib baik kerana tumornya bukan kanser. Suami saya sekadar menenangkan saya yang kegelisahan. Bersabarlah, apa sahaja yang doktor nak kata, kita terima dengan hati terbuka. Sepanjang hampir 40 minit menunggu tu bagai hendak luruh jantung rasanya.

     Masanya tiba. Doktor pakar hanya tersenyum kelat sambil memberitahu. Tumor ini adalah kanser dan ianya adalah antara grade yang paling slow untuk tumbuh. Awak beruntung kerana tumor ini adalah grade ini. Dada saya bagaikan ingin pecah mendengar kata-kata doktor tersebut. Dalam hati saya hanya berkata, apa yang doktor kata? BERUNTUNG?

     Bagaikan mendengar isi hati saya, doktor tersebut mengubah ayatnya. Ok, betul tu bukan semua orang nak ada penyakit kanser otak. Namun, jika mereka ditakdirkan ada penyakit kanser otak ini, jika kansernya adalah grade ini, maka sepatutnya mereka bersyukur.

     Saya hanya membisu sahaja. Tidak dapat nak fikir lagi apa yang akan berlaku selepas ini. Suami saya bertanya kepada doktor, jadi apa seterusnya selepas ini doktor? Doktor tersebut mengatakan kita akan buat lagi sekali scan dalam masa 6 bulan, dan dari situ kita akan tentukan semula apa yang kita nak buat.

     Telinga saya antara dengar atau tidak sahaja apa yang doktor katakan. Terasa seperti ada satu batu besar menghempap dada ini. Allahu Rabbi, ianya kanser!

     Sekarang (Ogos 2015), saya membenarkan kata-kata doktor pakar tersebut. Ya, saya sangat beruntung kerana ada kanser otak grade ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah, ia masih belum membesar lagi selepas 8 bulan pembedahan. Alhamdulillah juga, selepas pembedahan saya tidak perlu melakukan kemoterapi kerana kanser saya ialah grade ini. Alhamdulillah juga pembedahan berlaku dengan baik, proses penyembuhan juga dalam keadaan baik. Bukankah ini nikmat Allah yang patut saya syukuri?

     Jadi, saya ingin menyeru kepada semua. Mari sama-sama kita amalkan ini. Apa sahaja yang kita lalui pada saat ini, anggaplah ianya kecil sahaja berbanding masalah orang lain. Di situ kita akan mendapat kekuatan. Contohnya, kanser otak saya yang berada di bahagian atas kiri (bahagian emosi) sudah pasti lebih baik keadaannya berbanding dengan pesakit yang mempunyai kanser di bahagian lain di dalam otak. Ramai yang saya jumpa, selepas pembedahan, ada mengalami sedikit gangguan pada fungsi tertentu seperti muka jadi senget, telinga kurang mendengar, mulut jadi senget. Ini kerana bahagian kanser mereka berada pada bahagian saraf tersebut. Dalam kes saya, ianya di bahagian emosi. Nampaknya doktor telah melakukan tugas yang baik. Emosi saya berubah menjadi positif. Hehe. (sekadar gurauan).

     Namun, jangan pula jadi sebaliknya. Jangan sesekali bandingkan diri dengan orang yang lebih bernasib baik. Contohnya mungkin ada pesakit kanser otak yang seperti di atas membaca tulisan ini, lalu mengatakan, ini tidak adil kerana mulutnya senget selepas pembedahan sedangkan saya dipermudahkan Allah selepas pembedahan. Cuba bandingkan pula dengan orang yang lebih teruk nasibnya, ada yang terpaksa memilih samada untuk buta ataupun lumpuh selepas pembedahan tumor otak.

     Ini cerita kami, pesakit kanser. Jadi, untuk yang lain di luar sana. cubalah belajar bertolak-ansur dengan apa sahaja kesakitan yang menimpa diri. Jika kami pesakit kanser mampu mempunyai minda positif, anda sepatutnya lebih lagi kerana anda lebih sihat.

Monday, 10 August 2015

Minggu yang ceria

          Alhamdulillah, sememangnya hati saya berbunga-bunga apabila mendapat tahu result MRI scan pada Julai dahulu masih belum ada pertumbuhan tumor. Saya katakan masih belum ada, kerana saya kenal dengan tumor ini, lambat-laun ia akan membesar walaupun dalam kadar yang sangat perlahan (Nota : tumor saya adalah jenis low grade cancer stage 2 di kepala dan jenis yang paling lambat untuk membesar). MRI scan ini adalah kali kedua selepas pembedahan membuang tumor pada bulan November 2014. Ini bermakna selepas 8 bulan, hasil scan menunjukkan tiada tumor walaupun menurut apa yang saya faham, doktor tidak membuang 100% tumor ketika pembedahan hari tu.

          Bagaikan mendapat nafas baru, saya terus merancang untuk kehidupan ini. Jika dulu, terasa patah hati kerana penyakit ini, namun sekarang terasa bersemangat kembali. Benar, ajal maut di tangan Tuhan. Namun, untuk bertemu Tuhan, pasti kita memerlukan ‘sesuatu’ untuk dibawa sebagai bekalan diri. Lantas, saya teringat pesanan ibunda tersayang suatu ketika dulu. Katanya, bersabarlah dengan dugaan yang Allah nak bagi ini. Insya Allah dah sembuh nanti, tugas kita pula untuk kongsikan dengan semua apa yang kita tahu. Ya, itu yang ingin saya lakukan sekarang. Mahukah semua membaca apa yang saya tuliskan ini?

          Ada pesakit kanser yang bertanya kepada saya, rawatan apa yang saya gunakan? Bagi saya, rawatan apa sekalipun, yang penting ialah keadaan badan kita sendiri. Ada beberapa perkara perlu diperhatikan.

          Pertama, ketahui keadaan diri sendiri. Kenali jenis kanser, stage berapa, jenis yang cepat merebak ataupun tidak, Dalam hal ini, suka atau tidak, mesti pergi ke hospital, kerana di situlah kepakaran yang ada untuk analisis penyakit kita secara betul-betul. Ambil tahu juga walaupun perit, apa jangkaan dan saranan doktor menurut ilmu perubatan yang dia miliki. Point di sini ialah, mesti pergi ke hospital untuk pemeriksaan kerana kanser ini bukan penyakit main-main. Kita rasa sihat, namun ia membesar sedikit demi sedikit sehingga sampai ke stage akhir.

          Kedua, langkah seterusnya ialah mesti mempunyai minda yang positif. Setiap hari, bisikkan kepada diri sendiri, saya sembuh, saya sihat. Bacakan zikir penguat jiwa. Di sini peranan orang terdekat amat penting. Mereka perlu sentiasa kuatkan semangat pesakit supaya terus bersemangat untuk hidup, namun jangan sesekali memberikan harapan palsu. Saya dulu sering diingatkan, saya mesti sembuh supaya saya dapat beribadah dengan lebih baik kepada Allah dan menjaga keluarga sendiri. Apabila ada sebab untuk berjuang, kebiasaannya pesakit akan rasa lebih bersemangat untuk melawan penyakitnya.

          Ketiga, lawan penyakit itu. Di sini pentingnya pemakanan yang sihat dan senaman. Amalkan makan makanan yang kaya dengan antioksida, seperti buah-buahah tempatan. Boleh juga amalkan makanan tambahan untuk memudahkan. Saya sendiri mengambil R2, Lifepak dan G3 untuk meningkatkan kadar antioksida di dalam badan. Terkejut juga dulu ketika cek, level antioksida saya berada pada tahap terendah. Alhamdulillah, selepas makan 6 bulan, level antioksida meningkat ke level yang lebih baik. Masuk dalam kategori ini juga bagi yang mengamalkan air alkali, daun belalai gajah dan air lemon.

          Jadi, bagi saya ada 3 Langkah ini, kenali penyakit, minda positif dan lawan penyakit. Seimbangkan ia. Jangan terlalu tumpu kepada kenali sahaja penyakit, tetapi tiada usaha untuk minda positif dan lawan penyakit. Sekadar kenal apa penyakit kita, tetapi tiada minda positif dan lawan penyakit, tiada gunanya. Contohnya, pesakit yang menjalani kemoterapi namun sering mengeluh kesedihan.

          Jangan juga terlalu minda positif, tanpa kenali dan lawan penyakit. Bagi saya, tidak boleh juga sekadar dengar perubatan alternatif kerana mereka tiada kepakaran untuk membuktikan kekronikan penyakit kita. Ulang lagi sekali, kekronikan penyakit kita. Mesti ke hospital untuk kenali penyakit kita.

          Jangan juga terlalu tumpu kepada lawan penyakit sahaja, tanpa hiraukan kenali penyakit dan minda positif. Makanlah supplements berguni-guni pun, jika dalam minda tiada pemikiran positif untuk sembuh, tidak akan menjadi. Lebih-lebih lagi jika kita tidak kenali penyakit sendiri. Badan terasa sihat kerana kebiasaannya pesakit kanser ini tidak merasa sakit pada peringkat awal. Jadi, semuanya diambil sambil lewa. Masih mengamalkan makan di luar yang kaya dengan MSG terlampau kerap.

          Semoga artikel ini bermanfaat untuk yang memerlukan. Saya akan sambung lagi jika diizinkan oleh Allah. Semoga apa yang saya tulis ini menjadi amal jariah di sana kelak. Amin.

Saturday, 6 June 2015

Minda Positif




     Dulu-dulu saya tidak suka dengan perkataan kanser. Ini kerana bagi saya kanser itu kematian. Bolehkah semua faham perasaan saya apabila seawal usia 32 tahun telah didiagnos dengan kanser otak? Memang saya sentiasa merasakan putus harap dan sentiasa rasa bahawa saya akan mati pada bila-bila masa sahaja. Lebih-lebih lagi drama melayu kita suka sangat kaitkan kematian dengan penyakit barah otak. Aih, lemah semangat sungguh!

     Namun begitu, lama-kelamaan ia berubah. Saya cuba menerima takdir ini. Saya belajar menerima hakikat ini. Saya cuba bersyukur kepada Allah kerana hadiah kanser ini. Alhamdulillah ia dapat dikesan seawal stage 2, yang masih boleh untuk berubat lagi. Terima kasih kepada orang-orang terdekat yang sentiasa menguatkan hati ini.

     Semasa saya masih dalam proses nak terima hakikat ini, saya telah pergi berubat dengan seorang Ustaz di Kajang. Beliau telah memberikan beberapa bacaan ayat quran untuk diamalkan. Orangnya tua dan sudah pencen. Ustaz ni asalnya seorang ahli perniagaan berjaya, namun di akhir usianya ini beliau memilih untuk mendalami ilmu agama dan seterusnya berkongsi ilmunya dengan yang memerlukan. Apabila sampai di rumahnya, saya terkejut sedikit apabila melihatnya rumahnya sebuah rumah banglo besar, menggambarkan kekayaan yang dimilikinya.  Di dalam rumahnya, disediakan satu ruang khas untuk berubat dengan membaca ayat Al-Quran.

     Ustaz ini mengatakan anak-anaknya sentiasa bertanya kepadanya, buat apa susah-susah untuk mengubat orang di usia tua sebegini (Saya agak usianya dalam 60-an). Bukankah elok duduk berehat sahaja di rumah sambil melayan anak cucu. Sambil tergelak, Ustaz menjawab ini sebagai satu cara untuk lebih rapat dengan Allah. Bukankah dengan membaca Quran itu akan memberi pahala? Saya tergelak juga, namun dalam hati berkata, Ustaz ok lah, yang sakitnya saya, Ustaz hanya tolong merawat sahaja.

     Bagaikan mendengar isi hati saya, Ustaz menyambung, “Awak nak takut apa, semua orang kan akan mati. Saya pun akan mati. Entah-entah saya yang pergi dahulu. Sakit kanser bukan penyebab kematian. Kita mati kerana ajal sudah tiba”  Allahu Rabbi. Tersentak saya seketika. Di dalam hati saya asyik berfikir saya akan mati kerana sakit kanser ini. Padahal semua orang pasti akan mati tanpa mengira berpenyakit atau tidak. Sepatutnya yang berpenyakit ini lebih bersyukur kerana hadiah kesakitan yang Allah berikan kepadanya boleh menghapuskan dosa dan menaikkan darjatnya dengan syarat dia bersabar dan redha dengan takdir Allah.

     Untuk makluman juga, Ustaz ini tidak mengenakan sebarang bayaran. Kami cuba menghulur sedikit wang tanda terima kasih kami atas masa beliau. Lama juga, hampir 2 jam untuk satu sesi. Ustaz hanya tersenyum. Dia menjawab, kurniaan Allah kepadanya sudah banyak, sedekahkanlah duit itu kepada yang lebih memerlukan. Kami hanya tersenyum. Insya Allah dengan izin Allah, jika selepas ini ada yang memerlukan bantuan kami, pasti akan kami berikan tanpa balasan.

     Jadi, bagi semua pesakit kanser di luar sana. Percayalah, kita apa yang kita fikirkan. Fikirkan bahawa kita sihat, Insya Allah dengan izin Allah pasti kita akan sihat. Berusaha lawan penyakit ini. Ubahlah minda kita menjadi minda positif. Usah terlampau berfikiran negatif. Yang penting, jadikanlah sakit yang kita ada ini sebagai satu lonjakan untuk kita berubah ke arah yang lebih baik. Banyakkan senyum. Banyakkan bersenam. Jaga pemakanan.     

     Bagaimana untuk mendapat minda yang positif? Ini cara saya.


  • Seawal pagi apabila bangun daripada tidur, panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana lagi sehari Allah benarkan kita bernafas di bumi ini. Inilah hikmahnya apabila kita membaca doa bangun dari tidur.


Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepadaNya kami semua akan kembali.

Bagi yang tak hafal bahasa arabnya, cukuplah sekadar niat di dalam hati di dalam bahasa melayu. Hadirkan di dalam hati, terima kasih Ya Allah kerana menghidupkan kami lagi sehari pada hari ini setelah Engkau tidurkan (baca: mati sementara) kami.  Hanya kepada Engkau kami kembali.

Hadirkan juga di dalam hati, betapa ramai nyawa manusia yang Allah telah ambil ketika tidurnya. Saya sendiri ketika kecil dulu pernah seorang saudara terdekat, masih muda orangnya, apabila dikejut pada waktu pagi, sudah tidak jaga lagi kerana Allah telah mengambil nyawanya ketika tidur. Kami sekeluarga memang terkejut besar kerana arwah sepanjang yang kami kenal adalah seorang yang sihat.


  • Solat dhuha sekurang-kurangnya 2 rakaat dengan hadirkan rasa bersyukur di dalam hati. Badan manusia mempunyai 360 sendi. Cuba bayangkan jika satu sendi di tangan tidak berfungsi, bagaimana kita nak memegang barang? Antara cara kita bersyukur ialah dengan menunaikan solat dhuha setiap hari tanpa tertinggal.
  • Jaga solat di awal waktu bagi perempuan dan bagi lelaki cuba usahakan untuk solat berjemaah di masjid atau surau berdekatan. Cuba untuk solat rawatib bagi menampung kekurangan solat fardhu. 
  • Sentiasa fikirkan bahawa SAYA SIHAT. Bayangkan di dalam minda kita diri kita dalam keadaan yang sangat sihat.
  • Banyakkan berdoa kepada Allah lebih-lebih lagi pada waktu makbul doa. Ya Allah Ya Tuhanku, sihatkanlah diriku supaya dapat menjaga keluargaku dan beribadah kepada-Mu dengan lebih banyak.
  • Banyakkan istighfar dan sedekah. Setiap kali sedekah, berdoalah kepada Allah, terimalah sedekah ku ini dan sembuhkanlah penyakit ku ini.
  • Sebelum tidur, hadirkan di dalam hati satu pengharapan kepada Allah. Sembuhkanlah diriku Ya Allah. Jadikanlah diriku sebagai orang yang sihat walafiat. Jadikanlah diriku sebagai orang yang sentiasa menjaga solat.

     Ini antara cara saya mengekalkan minda positif. Pendek kata, setiap masa panjatkanlah setinggi-tinggi harapan dan doa kepada Allah supaya Allah menyembuhkan sakit ini. Setiap masa fikirlah bahawasanya kita adalah orang yang sihat. Walaupun terasa sedikit kesakitan, ubahlah minda dengan bersyukur kepada Allah. Sedikit sahaja ini, orang lain lagi teruk diuji oleh Allah.


Tuesday, 26 May 2015

Gembirakah?

         Kita mempunyai cara yang tersendiri untuk rasa gembira. Ada orang apabila tengok bunga cantik, dia rasa gembira. Ada pula orang yang apabila membantu orang lain, dia rasa sangat gembira.Apakah itu rasa gembira? Bagi saya, rasa gembira itu adalah satu rasa seronok yang sukar untuk ditafsirkan. Rasa yang menyebabkan kita menjadi semakin bersemangat untuk membuat apa yang kita suka. Sebagai contoh, ada orang rasa gembira apabila berbasikal. Dia akan sanggup untuk menyertai pelbagai jenis tournament kerana rasa seronoknya itu. Mungkin apa yang dia rasai ialah rasa sangat tenang dan dapat lari daripada kesibukan bekerja. Begitulah agaknya perasaan orang yang suka mengembara dan mendaki bukit. Satu kepuasan yang tidak dapat diluahkan oleh kata-kata apabila berada di puncak bukit.

       Apa yang membuatkan saya rasa gembira? Hehe, begitu subjektif soalan itu. Antara perkara yang membuatkan saya rasa gembira ialah apabila dapat menelefon emak di kampung. Seronok rasanya mendengar suaranya. Saya juga akan tergelak-gelak secara sendirinya walaupun tak kelakar pun sebenarnya. Selepas menelefon, saya seperti mendapat tenaga baru untuk membuat pelbagai perkara yang saya sukai.

       Nak tergelak pun ada sebenarnya apabila timbul idea untuk saya sendiri jadi model bagi tudung yang dijual. Kawan-kawan rapat dan adik-beradik memang terkejut besar agaknya. Hehe. Sebenarnya saya suka-suka sahaja tu. Kata orang, bagilah can. Selepas sesi bergambar tu, tiba-tiba saya merasakan satu perasaan sangat gembira menyelinap ke dalam diri. Terasa bertambah keyakinan diri. Tidak tahu kenapa. Agaknya rasa gembira kerana seolah-olah menjadi model. Konon-konon perasan cantik lah tu! Sekali lagi, bagilah can!

       Hujung minggu lepas, saya beriadah di taman bersama-sama keluarga. Setelah penat jogging (baca:separuh jogging,separuh berjalan) , suami mengajak saya naik basikal sewa. Pada mulanya saya keberatan kerana memang dah lama sangat tak naik basikal. Kali terakhir kalau tak silap masa sekolah menengah dulu. Namun, akhirnya kami naik juga. Wah, memang rasa sangat seronok! Terasa kembali ke zaman muda-muda dulu. Saya gelak sepanjang 15 minit kami sewa basikal itu.

       Tidak dapat dinafikan, berzikir juga mampu memberikan kegembiraan di dalam hati. Namun begitu, agaknya saya belum sampai tahap ini. Setiap hari, zikir yang saya baca memberikan ketenangan di dalam hati. Insya Allah, dengan izin Allah jua, saya akan dapat jua rasa kegembiraan apabila membaca zikir selepas satu masa yang Allah tetapkan. Semoga saya dapat mencapai tahap ini. Tahap yang seperti orang kata, kenyang dengan zikrullah.

       Jadi, saya merasakan sangat penting untuk kita mengetahui apa yang boleh membuatkan kita gembira. Gembira bukan yang gembira biasa-biasa, tetapi pada tahap adanya ‘adreanaline rush’ . Cuba satu-satu apa yang boleh, namun masih dalam lingkungan syara’. Jangan pula tiba-tiba kita yang dah elok-elok memakai tudung, buang pula tudung di kepala semata-mata nak rasa perasaan gembira ini. Untuk ibu-ibu di rumah pun, cuba cari paling kurang satu aktiviti yang membuatkan diri rasa gembira. Cari kelainan. Ada seorang kawan saya melancong ke luar negara sekejap dengan kawan-kawan perempuan. Anak-anak ditinggalkan dengan suami. Lari daripada kebiasaan .

       Cuba cari kegembiraan yang boleh menggembirakan kita. Hidup kita bukan untuk hidup yang tidak gembira. Usahakan untuk sentiasa senyum sepanjang masa dan rasa gembira. Kita adalah apa yang kita rasa. Jika kita gembira, percayalah kita akan lebih sihat dan hidup kita akan lebih bermakna.

Thursday, 16 April 2015

Zikir Penyembuh Sakit


Kebelakangan ini sering mendapat berita ada orang yang terdekat samada telah menghidap atau akan didiagnos sebagai menghidap kanser. Saya faham perasaan anda semua. Mari saya kongsikan apa yang menjadi amalan harian saya. Pada mulanya memang terasa sangat perit kerana tidak biasa berzikir beribu-ribu. Namun lama kelamaan badan akan menjadi kuat dan menjadi biasa. Jika tertinggal, terasa bersalah pula. Ini kerana saya sering teringat kata-kata bahawasa seorang Mukmin yang bagus ialah pada hari ini lebih baik dari semalam. Bahkan saya sering berdoa kepada Allah, biarlah Allah menjadikan hari terakhir saya di dunia sebagai hari terbaik dalam saya beribadah kepadaNya.

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu pagi :-

  • Surah Al-Ikhlas 100 kali
Fahami makna surah ini. Ya Allah, Engkaulah tempat bergantung segala sesuatu. Hanya kepadaMu aku bergantung. Engkau ialah Tuhan Yang Maha Esa. Engkau tidak beranak dan tidak diperanakkan. Engkau juga tidak sama dengan segala sesuatu. Perkenankanlah permohonanku ini. Berilah kesihatan kepadaku untuk menjadikanku lebih kuat beribadah kepadaMu dan juga menjaga ahli keluargaku. Kepada siapa lagi untuk aku memohon selain daripadaMu.
  • Selawat kepada Rasulullah 100 kali
Ya Allah, Engkau anugerahkanlah rahmat kepada Rasulullah. Engkau jadikanlah selawat ini sebagai penyebab terlepas daripada kesusahan yang aku alami sekarang ini (fokus kepada penyakit). Engkau jadikanlah ia sebagai penyebab tercapai keinginanku untuk kembali sihat. Engkau jadikanlah ia sebagai penyebab akhir hayat yang baik dan dicurahkan rahmat ke atasku.
  •  Zikir Ya Qawiyyu Ya Matin 100 kali
Ya Allah, Engkaulah Ya Qawiyy (Yang Maha Kuat) dan Ya Matin (Yang Maha Sempurna Kekuatan). Engkau berikanlah kepadaku kekuatan untuk melawan penyakit ini.
  • Zikir Ya Azim 1020 kali
Ya Allah, Engkaulah Ya Azim (Yang Maha Agung). Engkau sembuhkanlah penyakitku ini.
  • Doa Barah

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu petang :-
  • Zikir Ya Salam 121 kali
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera. Selamatkanlah diriku daripada penyakit ini. Aku memohon ampun di atas segala dosaku. Jadikan ia sebagai kafarah kepada dosaku sebelum ini.
  • Zikir Ya Ghaniyy 1060 kali
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Kaya. Engkau sembuhkanlah penyakit yang aku deritai ini.

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu malam :-
  •  Alfatihah 21 kali
  • Doa Rawatan Ulangan Darusyifa

Semoga sama-sama dapat beramal. Tingkatkan keyakinan diri kita. Allah menguji diri kita dengan penyakit kerana Dia sayang dengan kita. Betapa ramai orang yang Allah anugerahkan kesihatan berpanjangan, menjadi bongkak dan takbur. Kita minta dijauhkan oleh Allah menjadi seperti Firaun yang terlampau bongkak dan takbur dengan kesihatan dan kekuatan yang dimiliki.

Yakinlah, rasa sakit ini adalah penghapus dosa yang kita lakukan sebelum ini. Bahkan kita akan mendapat pahala yang besar dengan syarat kita bersabar. Senyumlah sentiasa kerana kita menjadi manusia pilihan Allah.

Bagi yang diuji dengan penyakit, pesan saya hanya satu. Ini ditujukan istimewa untuk diri sendiri yang seringkali terlupa. Marilah sama-sama kita banyakkan beristighfar. Mohon ampun kepada Allah atas segala kesilapan yang pernah kita lakukan. Marilah sama-sama kita berubah ke arah yang lebih baik. Sama-sama koreksi diri, cuba solat pada awal waktu dan menjaga aurat dengan sesempurna mungkin.

Saya berdoa agar Allah menjadikan tulisan ini bermanfaat kepada yang membacanya dan dijauhkan daripada penyakit hati riyak dan takabur. Perkenankanlah.

Thursday, 9 April 2015

Stress penyebab kanser



Seringkali membaca info dari internet, penyakit kanser dikaitkan dengan stress. Saya setuju dengan kenyataan ini. Ya, dulu memang saya seorang yang cepat stress dengan persekitaran. Sehinggakan anak sulung meberikan kad istimewa untuk emaknya, senyum itu satu sedekah. Ish2, adakah saya terlampau serius bekerja sehinggakan tidak senyum?

Dulu saya merupakan seorang penjual beroperasi daripada rumah. Ya, menggunakan internet, semuanya kelihatan mudah. Alhamdulillah, pendapatan bulanan juga boleh tahan. Berjumlah 4 angka yang besar. Alhamdulillah atas rezeki Allah berikan. Namun begitu, saya terlupa tentang kesihatan diri sendiri. Seringkali terkejar-kejar dengan order yang tidak putus-putus masuk. Terkejar-kejar pula untuk mengambil anak balik sekolah pada waktu tengahari dan petang. Pada waktu itu, saya tidak merasa sakit. Hanya kadangkala kepenatan yang rasanya normal seperti ibu lain juga. Jadi saya merasakan semuanya normal sahaja. Bertahun-tahun keadaan begini. Sejak 2005 di Pasir Gudang sehinggalah berpindah ke Bangi beberapa tahun lepas.

Kuasa tuhan mengatasi segalanya. Akhir tahun 2013 saya mengalami sawan ketika di dalam kereta. Mujurlah suami yang memandu ketika itu. Dipendekkan cerita, saya didiagnos sebagai pesakit kanser otak tahap 2 dan kemudian dibedah pada November 2014. Sehingga sekarang masih belum dibenarkan memandu lagi atas alasan sawan.

Saya tertanya-tanya sendiri, kenapa saya boleh terkena penyakit yang ditakuti ramai ini? Adakah kerana faktor pemakanan? Mungkin juga, kerana dulu saya sangat suka makan daging lembu. Daging lembu adalah sangat berasid yang membolehkan berlakunya pertumbuhan kanser.

Saya berfikir lagi. Saya ketemui jawapannya, iaitu faktor stress. Lalu saya terkenangkan kisah lalu, betapa saya sering memarahi anak-anak ketika sedang sibuk menguruskan perniagaan. Kadang-kadang bukan marah apa sangat pun. Cuma kita rasa sedikit terganggu apabila anak-anak kerap inginkan perhatian apabila kita sedang sibuk mempromosi barang jualan.  Jadi ingat ya ibu-ibu sekalian. Anak-anak adalah anugerah Allah yang berharga. Usah dimarahi mereka kerana yang akan rugi adalah diri kita juga. Apabila kita marah (baca = stress), diri kita akan mudah terkena penyakit-penyakit kronik seperti kanser. Harus diingat, penyakit kanser biasanya hanya boleh dikesan pada tahap akhir dan biasanya sudah tidak mempunyai masa yang lama. Cuma saya antara yang beruntung, kerana tahu pada tahap dua dan boleh berubat. Terima kasih pada sawan walaupun ia menyakitkan. Terima kasih Allah kerana memberikan sesuatu yang kena pada tempatnya, walaupun pada hakikatnya kita tak menyukainya.

Sekarang ini pun saya masih juga mengalami sedikit stress. Menurut doktor, tumor saya berada di bahagian emosi. Jadi kebiasaannya memang emosi akan mudah terganggu. Betul lah tu. Stress menyebabkan kanser. Kanser ini pula menyebabkan stress. Saling bersangkut-paut. Jadi, jangan marah saya ya jika sesekali emosi kurang stabil sedikit. Dah ada kecacatan sedikit di bahagian emosi. Jangan terasa hati juga. Kadang-kadang saya lupa.

Namun begitu, saya perlu berusaha sebaik mungkin untuk tidak lagi stress. Jika saya stress, sel kanser ini akan terus membesar. Itu apa yang saya faham. Apa yang saya perlu lakukan ialah menolak jauh-jauh stress dalam hidup ini. Banyakkan bergelak ketawa. Banyakkan senyum. Banyakkan bersyukur dengan apa yang ada. Banyakkan melakukan apa yang saya suka seperti membaca. Banyakkan memberi kepada yang memerlukan.

Ada juga tip yang saya peroleh hari internet, cuba senyum semanis mungkin selama 10 saat. Anda akan rasakan sedikit stress di dalam badan akan hilang begitu sahaja. Cubalah. Saya telah cuba dan saya nikmatinya.

Stress juga disebabkan badan terlampau penat dengan tugas-tugas harian. Sekarang saya kembali mengamalkan makanan tambahan untuk memulihkan kembali sel-sel badan saya supaya kembali normal. Sel kanser adalah sel yang rosak. Alhamdulillah setelah mengamalkan selama beberapa bulan, badan saya rasa kembali bertenaga. Saya juga sembuh dengan cepat selepas pembedahan. Bagi saya, pada saat ini, kesihatan yang paling penting. Biarpun ekonomi keluarga agak tergugat selepas saya tidak menjalankan perniagaan lagi, namun saya redha. Rezeki Allah itu luas, ada di mana-mana. Biarlah wang keluar banyak untuk pelbagai jenis makanan antikanser yang perlu saya makan setiap hari. Saya yakin rezeki Allah itu ada di mana-mana.  



Thursday, 26 March 2015

Pemakanan antikanser



Perjalanan belum berakhir. Apa yang selama ini saya perjuangkan untuk diri saya, perlu diterapkan kepada ahli keluarga. Ini untuk melindungi orang yang saya sayang daripada ancaman penyakit berbahaya ini.


  •   Gula

Tahukah kita bahawa sel kanser sangat sukakan gula? Ya, gula yang berada dalam kehidupan seharian kita. Pagi-pagi lagi dah cari kuih-muih bergula, ditambah pula dengan air kopi atau teh bergula. Belum lagi dengan gula yang tersembunyi yang terdapat dalam hampir semua jenis makanan. Cuba lihat kandungan bahan-bahan makanan kita. Ambil contoh roti putih. Terang lagi bersuluh, antara bahan-bahannya ialah gula pasir. Kadang-kadang saya pejam mata sahaja, kunyah juga roti putih ini bila dah teringin. 

Apa yang saya buat? Saya cuba cari alternatif pengganti gula. Ya, saya boleh hidup tanpa minuman manis. Namun, sebaliknya dengan anak-anak kecil ini. Semuanya ingin manis-manis. Sebelum ini, setiap hari memang saya buatkan mereka satu jug besar air teh atau coklat. Hehe, senangkan. Kalau nak air je, terus buka peti sejuk, air dah tersedia. Untuk misi kurangkan gula dalam kehidupan ini, air yang sama saya bancuh, cuma saya gantikan gula dengan titisan stevia. Senang, satu titik mampu memaniskan secawan air.


  • Alkali

Tahukah kita bahawa sel kanser sangat sukakan keadaan berasid? Bahkan ia tidak mampu bertahan dalam suasana beralkali. Apa yang saya buat ialah setiap hari saya wajib minum air alkali sekurang-kurangnya 2.5 liter. Ya, saya minum air Kangen. Hehe, tapi saya bukanlah kategori orang yang mampu membeli mesin air Kangen itu. Setiap minggu saya akan ke rumah seorang kawan untuk tadah air. Semoga Allah melimpahkan rezeki yang banyak kepada beliau sekeluarga kerana memberikan kepada saya secara percuma. Kalau nak beli tu, boleh tahan juga harganya. Cuba kira, satu botol = RM10 (dengan botol). Ok, katakanlah dah ada botol sendiri. Satu botol RM5, tahan untuk 2 hari. Satu botol sama dengan 5 liter. Sebulan ada 30 hari. 30/2 hari x RM5 = RM125. Jika setahun? RM1500!

Oleh kerana setiap minggu ke rumah kawan hanya untuk keperluan air alkali sendiri, jadi saya putuskan, untuk anak-anak belum masanya lagi untuk minum air alkali. Saya cuba cari sendiri di internet apakah makanan yang bersifat alkali. Antara yang saya jumpa ialah bagi kategori most alkaline ialah lemon water, olive oil, buah tembikai, buah betik, buah mangga dan stevia. Bagi sayuran pula, brokoli, bayam, bawang dan parsley. Ok, kita tolak ketepi sayur-sayuran kerana salah saya juga masa mereka kecil, saya tak kenalkan mereka dengan sayur-sayuran. Apa yang saya buat ialah setiap hari saya akan pastikan mereka makan benda-benda beralkali seperti air lemon, air stevia atau buah tembikai. Alhamdulillah mereka sukakannya!


  •   Makanan antikanser

Antara makanan antikanser yang pakar perubatan alternatif suruh saya amalkan ialah durian belanda. Ya, makanan tempatan ini mempunyai antara kandungan antikanser yang tinggi berbanding makanan lain. Makan buahnya, bukan durian belanda yang diproses menjadi teh atau supplements. Cuma sekarang saya hadapi sedikit masalah, susah nak jumpa durian belanda di sini. Seminggu sepatutnya makan dalam 2 atau 3 biji bersaiz sederhana. Itu yang paling kurang. Jadi, jika ada sesiapa rasa nak melawat saya, boleh bawakan durian belanda ye.

Juga yang saya amalkan ialah makan pulur nenas. Ianya tinggi dengan kandungan bromelain. Pulur sahaja , bukannya bahagian yang selalu kita makan tu. Orang kita jika potong nenas, biasanya memang buang bahagian tengah tu. Sayang juga ye, yang itulah yang paling berkhasiat. Nenas tiada masalah di sini, Alhamdulillah. Sebiji nenas boleh dapat harga RM2.50. Seminggu makan 2 atau 3 nenas dah memadai.

Nanti saya sambung lagi ya. Banyak lagi pemakanan yang saya amalkan semenjak kurang sihat ni. Hehe, jika saya ke rumah kawan-kawan semua, jangan hidangkan saya air manis ya. Saya dah kategori bermusuh dengan gula buat masa ini. Begitu juga dengan kuih-muih dan segala jenis kek. Bagi yang nak tahu info lanjut tentang stevia dan air kangen, boleh whatsapp saya di 0133793730.