Mac 2014.
Ini appointment pertama dengan doktor pakar selepas melakukan biopsy. Alhamdulillah tidak sebesar mana yang ditoreh di kepala, sekadar setengah jengkal. Bahagian kepala juga tidak terasa terlalu sakit, mungkin kerana biopsy hanya mengambil masa yang sekejap dan sekadar mengambil sedikit sel untuk dicek samada kanser atau tak.
Ada yang bertanya kepada saya. Betul ke tak sakit? Haha, saya tergelak sahaja. Tipulah kalau kata tak sakit. Sebenarnya ia bergantung kepada cara kita memandang kepada sesuatu perkara. Jika kita anggap perkara yang kita lalui ini kecil sahaja, maka kita akan rasa kurang sakit. Jika kita menganggapnya seperti sebesar gunung, maka sepanjang hari kita akan mengeluh tidak selesa.
Berbalik kepada cerita asal. Dada tetap berdebar-debar. Tidak dapat nak agak apa keputusannya. Kanser atau tak. Ada 2 sahaja pilihan. Seorang bapa saudara saya juga ada tumor di bahagian otak dan dia bernasib baik kerana tumornya bukan kanser. Suami saya sekadar menenangkan saya yang kegelisahan. Bersabarlah, apa sahaja yang doktor nak kata, kita terima dengan hati terbuka. Sepanjang hampir 40 minit menunggu tu bagai hendak luruh jantung rasanya.
Masanya tiba. Doktor pakar hanya tersenyum kelat sambil memberitahu. Tumor ini adalah kanser dan ianya adalah antara grade yang paling slow untuk tumbuh. Awak beruntung kerana tumor ini adalah grade ini. Dada saya bagaikan ingin pecah mendengar kata-kata doktor tersebut. Dalam hati saya hanya berkata, apa yang doktor kata? BERUNTUNG?
Bagaikan mendengar isi hati saya, doktor tersebut mengubah ayatnya. Ok, betul tu bukan semua orang nak ada penyakit kanser otak. Namun, jika mereka ditakdirkan ada penyakit kanser otak ini, jika kansernya adalah grade ini, maka sepatutnya mereka bersyukur.
Saya hanya membisu sahaja. Tidak dapat nak fikir lagi apa yang akan berlaku selepas ini. Suami saya bertanya kepada doktor, jadi apa seterusnya selepas ini doktor? Doktor tersebut mengatakan kita akan buat lagi sekali scan dalam masa 6 bulan, dan dari situ kita akan tentukan semula apa yang kita nak buat.
Telinga saya antara dengar atau tidak sahaja apa yang doktor katakan. Terasa seperti ada satu batu besar menghempap dada ini. Allahu Rabbi, ianya kanser!
Sekarang (Ogos 2015), saya membenarkan kata-kata doktor pakar tersebut. Ya, saya sangat beruntung kerana ada kanser otak grade ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah, ia masih belum membesar lagi selepas 8 bulan pembedahan. Alhamdulillah juga, selepas pembedahan saya tidak perlu melakukan kemoterapi kerana kanser saya ialah grade ini. Alhamdulillah juga pembedahan berlaku dengan baik, proses penyembuhan juga dalam keadaan baik. Bukankah ini nikmat Allah yang patut saya syukuri?
Jadi, saya ingin menyeru kepada semua. Mari sama-sama kita amalkan ini. Apa sahaja yang kita lalui pada saat ini, anggaplah ianya kecil sahaja berbanding masalah orang lain. Di situ kita akan mendapat kekuatan. Contohnya, kanser otak saya yang berada di bahagian atas kiri (bahagian emosi) sudah pasti lebih baik keadaannya berbanding dengan pesakit yang mempunyai kanser di bahagian lain di dalam otak. Ramai yang saya jumpa, selepas pembedahan, ada mengalami sedikit gangguan pada fungsi tertentu seperti muka jadi senget, telinga kurang mendengar, mulut jadi senget. Ini kerana bahagian kanser mereka berada pada bahagian saraf tersebut. Dalam kes saya, ianya di bahagian emosi. Nampaknya doktor telah melakukan tugas yang baik. Emosi saya berubah menjadi positif. Hehe. (sekadar gurauan).
Namun, jangan pula jadi sebaliknya. Jangan sesekali bandingkan diri dengan orang yang lebih bernasib baik. Contohnya mungkin ada pesakit kanser otak yang seperti di atas membaca tulisan ini, lalu mengatakan, ini tidak adil kerana mulutnya senget selepas pembedahan sedangkan saya dipermudahkan Allah selepas pembedahan. Cuba bandingkan pula dengan orang yang lebih teruk nasibnya, ada yang terpaksa memilih samada untuk buta ataupun lumpuh selepas pembedahan tumor otak.
Ini cerita kami, pesakit kanser. Jadi, untuk yang lain di luar sana. cubalah belajar bertolak-ansur dengan apa sahaja kesakitan yang menimpa diri. Jika kami pesakit kanser mampu mempunyai minda positif, anda sepatutnya lebih lagi kerana anda lebih sihat.
No comments:
Post a Comment