Thursday, 16 April 2015

Zikir Penyembuh Sakit


Kebelakangan ini sering mendapat berita ada orang yang terdekat samada telah menghidap atau akan didiagnos sebagai menghidap kanser. Saya faham perasaan anda semua. Mari saya kongsikan apa yang menjadi amalan harian saya. Pada mulanya memang terasa sangat perit kerana tidak biasa berzikir beribu-ribu. Namun lama kelamaan badan akan menjadi kuat dan menjadi biasa. Jika tertinggal, terasa bersalah pula. Ini kerana saya sering teringat kata-kata bahawasa seorang Mukmin yang bagus ialah pada hari ini lebih baik dari semalam. Bahkan saya sering berdoa kepada Allah, biarlah Allah menjadikan hari terakhir saya di dunia sebagai hari terbaik dalam saya beribadah kepadaNya.

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu pagi :-

  • Surah Al-Ikhlas 100 kali
Fahami makna surah ini. Ya Allah, Engkaulah tempat bergantung segala sesuatu. Hanya kepadaMu aku bergantung. Engkau ialah Tuhan Yang Maha Esa. Engkau tidak beranak dan tidak diperanakkan. Engkau juga tidak sama dengan segala sesuatu. Perkenankanlah permohonanku ini. Berilah kesihatan kepadaku untuk menjadikanku lebih kuat beribadah kepadaMu dan juga menjaga ahli keluargaku. Kepada siapa lagi untuk aku memohon selain daripadaMu.
  • Selawat kepada Rasulullah 100 kali
Ya Allah, Engkau anugerahkanlah rahmat kepada Rasulullah. Engkau jadikanlah selawat ini sebagai penyebab terlepas daripada kesusahan yang aku alami sekarang ini (fokus kepada penyakit). Engkau jadikanlah ia sebagai penyebab tercapai keinginanku untuk kembali sihat. Engkau jadikanlah ia sebagai penyebab akhir hayat yang baik dan dicurahkan rahmat ke atasku.
  •  Zikir Ya Qawiyyu Ya Matin 100 kali
Ya Allah, Engkaulah Ya Qawiyy (Yang Maha Kuat) dan Ya Matin (Yang Maha Sempurna Kekuatan). Engkau berikanlah kepadaku kekuatan untuk melawan penyakit ini.
  • Zikir Ya Azim 1020 kali
Ya Allah, Engkaulah Ya Azim (Yang Maha Agung). Engkau sembuhkanlah penyakitku ini.
  • Doa Barah

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu petang :-
  • Zikir Ya Salam 121 kali
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera. Selamatkanlah diriku daripada penyakit ini. Aku memohon ampun di atas segala dosaku. Jadikan ia sebagai kafarah kepada dosaku sebelum ini.
  • Zikir Ya Ghaniyy 1060 kali
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Kaya. Engkau sembuhkanlah penyakit yang aku deritai ini.

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu malam :-
  •  Alfatihah 21 kali
  • Doa Rawatan Ulangan Darusyifa

Semoga sama-sama dapat beramal. Tingkatkan keyakinan diri kita. Allah menguji diri kita dengan penyakit kerana Dia sayang dengan kita. Betapa ramai orang yang Allah anugerahkan kesihatan berpanjangan, menjadi bongkak dan takbur. Kita minta dijauhkan oleh Allah menjadi seperti Firaun yang terlampau bongkak dan takbur dengan kesihatan dan kekuatan yang dimiliki.

Yakinlah, rasa sakit ini adalah penghapus dosa yang kita lakukan sebelum ini. Bahkan kita akan mendapat pahala yang besar dengan syarat kita bersabar. Senyumlah sentiasa kerana kita menjadi manusia pilihan Allah.

Bagi yang diuji dengan penyakit, pesan saya hanya satu. Ini ditujukan istimewa untuk diri sendiri yang seringkali terlupa. Marilah sama-sama kita banyakkan beristighfar. Mohon ampun kepada Allah atas segala kesilapan yang pernah kita lakukan. Marilah sama-sama kita berubah ke arah yang lebih baik. Sama-sama koreksi diri, cuba solat pada awal waktu dan menjaga aurat dengan sesempurna mungkin.

Saya berdoa agar Allah menjadikan tulisan ini bermanfaat kepada yang membacanya dan dijauhkan daripada penyakit hati riyak dan takabur. Perkenankanlah.

3 comments: