Hidup ini penuh dengan ujian. Kadang-kadang kita memerlukan satu pertolongan yang memudahkan kita melalui hidup ini dengan mudah. Ibarat ketika sedang menduduki peperiksaan di zaman sekolah dulu, tiba-tiba pen yang kita gunakan semuanya tiada dakwat,termasuk pen tambahan yang kita sediakan. Masa berjalan dengan pantas sedangkan kita perlu menjawab soalan tersebut dengan segera. Pertolongan tiba apabila pengawas peperiksaan meminjamkan pennya untuk kita menjawab soalan.
Jadi, apa pertolongan yang kita perlukan? Pertolongan itu ialah pertolongan daripada Allah. Bagaimana cara untuk mendapat pertolongan daripada Allah?
Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!” Maka Jibril mencintainya, lalu Jibril mengumumkan kepada seluruh penduduk langit dan berkata: “Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintailah pula dia oleh kalian semua, maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini “ (HR. Bukhari)
Menurut apa yang saya dapati daripada kuliah Dato’ Dr’ Fatma di surau berhampiran, antara caranya ialah dengan mengerjakan solat nawafil iaitu solat-solat sunat. Kita boleh bersama-sama mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu untuk permulaannya.
Saya suka untuk berkongsi kisah saya sendiri. Ya, oleh kerana faktor usia yang muda, memang selalu saya terlepas pandang beberapa amalan sunat yang bagi saya biasanya diamalkan oleh kebanyakan warga emas. Alhamdulillah, Allah uji dengan penyakit ini untuk mengingatkan diri saya tarikh kematian itu tidak mengenal usia, samada tua ataupun muda. Jadi, saya cuba beramal dengan beberapa amalan sunat ini seperti mengerjakan solat sunat sebelum solat fardhu.
Entah kenapa, saya terasa jiwa saya lebih tenang. Saya rasa hidup saya seringkali dipermudahkan oleh Allah. Pada mulanya saya merasakan ini hanyalah sebuah kebetulan sahaja sehinggalah saya mendengar kuliah Dato’ Dr. Fatma ini. Beliau mengatakan apabila kita disayangi oleh Allah, semua penduduk langit akan suka kepada kita. Apabila semua penduduk langit suka kepada kita, maka penduduk dunia juga akan menyukai kita. Ada sahaja perkara-perkara berlaku yang memudahkan hidup kita.
Semasa saya masuk ke wad pada bulan puasa yang lalu untuk MRI Scan, ada berlaku perkara yang boleh saya ambil iktibar. Saya sememangnya klaustrophobia, tidak boleh menjalani MRI Scan tanpa menggunakan sedation. Lebih memburukkan keadaan, sebelum ini sudah 2 kali Scan yang saya tidak dapat tidur walaupun sudah sedation. Dada memang berdebar-debar. Rasanya lebih takut nak menjalani MRI Scan daripada pembedahan pula. Suami yang menemani saya berulang kali mengingatkan diri saya. Sabar, ingat Allah banyak-banyak. 10 malam terakhir ini ada malam LalilatulQadar. Ada hikmah tarikh scan pada waktu sekarang. Allah nak kita lebih bertawakal kepadaNya.
Doktor yang nak masukkan jarum tu pula 6 kali baru dapat jumpa salur darah saya. Aduh, memang saya berkerut juga dahi menahan kesakitan. Dah masuk jarum , siap pusing-pusing lagi lepas tu tak jumpa juga. Saya hanya menahan kesabaran sambil cuba juga tersenyum kepada doktor tersebut. Debaran di dada masih belum hilang mengenangkan MRI Scan.
Apabila dibawa turun ke bilik MRI Scan, seperti biasa akan diberikan penerangan oleh doktor yang terlibat. Mengejutkan juga kerana yang akan beri sedation ini bukannya doktor biasa, tetapi doktor bius. Rupa-rupanya PPUM sedang di dalam kajian untuk memberikan bius bagi yang klaustrophobia dan saya merupakan hasil kajian yang ke-17. Saya bertanya juga kepada doktor, bagaimana kalau saya tidak tidur juga? Doktor hanya tersenyum menjawab, jangan risau, kerja saya memang tidurkan orang. Akhirnya, memang saya tidur dengan lena.
Kesimpulannya, memang kita perlukan pertolongan daripada Allah untuk memudahkan kehidupan kita. Saya anggap itu adalah satu pertolongan yang besar apabila PPUM mengadakan kajian tersebut pada waktu saya sepatutnya menjalani scan. Siapa sangka kan? Mungkin ada yang tertanya , jika macam itu kenapa Allah tak tolong ketika saya sedikit kesakitan apabila dicucuk sebanyak 6 kali oleh doktor? Saya merasakan ini satu soalan yang sangat asas. Sedikit kesakitan itu perlu untuk melatih diri kita lebih sabar. Lebih-lebih lagi kesakitan itu menyebabkan dosa-dosa kita yang lalu diampuni oleh Allah. Jadi, fikir sahaja secara positif dan syukuri apa sahaja pertolongan yang Allah berikan.
Kepada pesakit kanser, saya tahu anda sedang serabut dengan pelbagai perkara yang bermain di fikiran. Saya faham kerana saya juga melaluinya. Nasihat saya hanya satu, lupakan sahaja itu dan mari sama-sama kita cari apa amalan yang boleh menyebabkan Allah menyukai kita. Harus ingat, apabila Allah menyukai kita, bukan sahaja itu untuk memudahkan laluan kita ke syurga , tetapi juga untuk memudahkan kehidupan kita di dunia ini.
No comments:
Post a Comment