Monday, 10 August 2015

Minggu yang ceria

          Alhamdulillah, sememangnya hati saya berbunga-bunga apabila mendapat tahu result MRI scan pada Julai dahulu masih belum ada pertumbuhan tumor. Saya katakan masih belum ada, kerana saya kenal dengan tumor ini, lambat-laun ia akan membesar walaupun dalam kadar yang sangat perlahan (Nota : tumor saya adalah jenis low grade cancer stage 2 di kepala dan jenis yang paling lambat untuk membesar). MRI scan ini adalah kali kedua selepas pembedahan membuang tumor pada bulan November 2014. Ini bermakna selepas 8 bulan, hasil scan menunjukkan tiada tumor walaupun menurut apa yang saya faham, doktor tidak membuang 100% tumor ketika pembedahan hari tu.

          Bagaikan mendapat nafas baru, saya terus merancang untuk kehidupan ini. Jika dulu, terasa patah hati kerana penyakit ini, namun sekarang terasa bersemangat kembali. Benar, ajal maut di tangan Tuhan. Namun, untuk bertemu Tuhan, pasti kita memerlukan ‘sesuatu’ untuk dibawa sebagai bekalan diri. Lantas, saya teringat pesanan ibunda tersayang suatu ketika dulu. Katanya, bersabarlah dengan dugaan yang Allah nak bagi ini. Insya Allah dah sembuh nanti, tugas kita pula untuk kongsikan dengan semua apa yang kita tahu. Ya, itu yang ingin saya lakukan sekarang. Mahukah semua membaca apa yang saya tuliskan ini?

          Ada pesakit kanser yang bertanya kepada saya, rawatan apa yang saya gunakan? Bagi saya, rawatan apa sekalipun, yang penting ialah keadaan badan kita sendiri. Ada beberapa perkara perlu diperhatikan.

          Pertama, ketahui keadaan diri sendiri. Kenali jenis kanser, stage berapa, jenis yang cepat merebak ataupun tidak, Dalam hal ini, suka atau tidak, mesti pergi ke hospital, kerana di situlah kepakaran yang ada untuk analisis penyakit kita secara betul-betul. Ambil tahu juga walaupun perit, apa jangkaan dan saranan doktor menurut ilmu perubatan yang dia miliki. Point di sini ialah, mesti pergi ke hospital untuk pemeriksaan kerana kanser ini bukan penyakit main-main. Kita rasa sihat, namun ia membesar sedikit demi sedikit sehingga sampai ke stage akhir.

          Kedua, langkah seterusnya ialah mesti mempunyai minda yang positif. Setiap hari, bisikkan kepada diri sendiri, saya sembuh, saya sihat. Bacakan zikir penguat jiwa. Di sini peranan orang terdekat amat penting. Mereka perlu sentiasa kuatkan semangat pesakit supaya terus bersemangat untuk hidup, namun jangan sesekali memberikan harapan palsu. Saya dulu sering diingatkan, saya mesti sembuh supaya saya dapat beribadah dengan lebih baik kepada Allah dan menjaga keluarga sendiri. Apabila ada sebab untuk berjuang, kebiasaannya pesakit akan rasa lebih bersemangat untuk melawan penyakitnya.

          Ketiga, lawan penyakit itu. Di sini pentingnya pemakanan yang sihat dan senaman. Amalkan makan makanan yang kaya dengan antioksida, seperti buah-buahah tempatan. Boleh juga amalkan makanan tambahan untuk memudahkan. Saya sendiri mengambil R2, Lifepak dan G3 untuk meningkatkan kadar antioksida di dalam badan. Terkejut juga dulu ketika cek, level antioksida saya berada pada tahap terendah. Alhamdulillah, selepas makan 6 bulan, level antioksida meningkat ke level yang lebih baik. Masuk dalam kategori ini juga bagi yang mengamalkan air alkali, daun belalai gajah dan air lemon.

          Jadi, bagi saya ada 3 Langkah ini, kenali penyakit, minda positif dan lawan penyakit. Seimbangkan ia. Jangan terlalu tumpu kepada kenali sahaja penyakit, tetapi tiada usaha untuk minda positif dan lawan penyakit. Sekadar kenal apa penyakit kita, tetapi tiada minda positif dan lawan penyakit, tiada gunanya. Contohnya, pesakit yang menjalani kemoterapi namun sering mengeluh kesedihan.

          Jangan juga terlalu minda positif, tanpa kenali dan lawan penyakit. Bagi saya, tidak boleh juga sekadar dengar perubatan alternatif kerana mereka tiada kepakaran untuk membuktikan kekronikan penyakit kita. Ulang lagi sekali, kekronikan penyakit kita. Mesti ke hospital untuk kenali penyakit kita.

          Jangan juga terlalu tumpu kepada lawan penyakit sahaja, tanpa hiraukan kenali penyakit dan minda positif. Makanlah supplements berguni-guni pun, jika dalam minda tiada pemikiran positif untuk sembuh, tidak akan menjadi. Lebih-lebih lagi jika kita tidak kenali penyakit sendiri. Badan terasa sihat kerana kebiasaannya pesakit kanser ini tidak merasa sakit pada peringkat awal. Jadi, semuanya diambil sambil lewa. Masih mengamalkan makan di luar yang kaya dengan MSG terlampau kerap.

          Semoga artikel ini bermanfaat untuk yang memerlukan. Saya akan sambung lagi jika diizinkan oleh Allah. Semoga apa yang saya tulis ini menjadi amal jariah di sana kelak. Amin.

No comments:

Post a Comment