Thursday, 16 April 2015

Zikir Penyembuh Sakit


Kebelakangan ini sering mendapat berita ada orang yang terdekat samada telah menghidap atau akan didiagnos sebagai menghidap kanser. Saya faham perasaan anda semua. Mari saya kongsikan apa yang menjadi amalan harian saya. Pada mulanya memang terasa sangat perit kerana tidak biasa berzikir beribu-ribu. Namun lama kelamaan badan akan menjadi kuat dan menjadi biasa. Jika tertinggal, terasa bersalah pula. Ini kerana saya sering teringat kata-kata bahawasa seorang Mukmin yang bagus ialah pada hari ini lebih baik dari semalam. Bahkan saya sering berdoa kepada Allah, biarlah Allah menjadikan hari terakhir saya di dunia sebagai hari terbaik dalam saya beribadah kepadaNya.

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu pagi :-

  • Surah Al-Ikhlas 100 kali
Fahami makna surah ini. Ya Allah, Engkaulah tempat bergantung segala sesuatu. Hanya kepadaMu aku bergantung. Engkau ialah Tuhan Yang Maha Esa. Engkau tidak beranak dan tidak diperanakkan. Engkau juga tidak sama dengan segala sesuatu. Perkenankanlah permohonanku ini. Berilah kesihatan kepadaku untuk menjadikanku lebih kuat beribadah kepadaMu dan juga menjaga ahli keluargaku. Kepada siapa lagi untuk aku memohon selain daripadaMu.
  • Selawat kepada Rasulullah 100 kali
Ya Allah, Engkau anugerahkanlah rahmat kepada Rasulullah. Engkau jadikanlah selawat ini sebagai penyebab terlepas daripada kesusahan yang aku alami sekarang ini (fokus kepada penyakit). Engkau jadikanlah ia sebagai penyebab tercapai keinginanku untuk kembali sihat. Engkau jadikanlah ia sebagai penyebab akhir hayat yang baik dan dicurahkan rahmat ke atasku.
  •  Zikir Ya Qawiyyu Ya Matin 100 kali
Ya Allah, Engkaulah Ya Qawiyy (Yang Maha Kuat) dan Ya Matin (Yang Maha Sempurna Kekuatan). Engkau berikanlah kepadaku kekuatan untuk melawan penyakit ini.
  • Zikir Ya Azim 1020 kali
Ya Allah, Engkaulah Ya Azim (Yang Maha Agung). Engkau sembuhkanlah penyakitku ini.
  • Doa Barah

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu petang :-
  • Zikir Ya Salam 121 kali
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera. Selamatkanlah diriku daripada penyakit ini. Aku memohon ampun di atas segala dosaku. Jadikan ia sebagai kafarah kepada dosaku sebelum ini.
  • Zikir Ya Ghaniyy 1060 kali
Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Kaya. Engkau sembuhkanlah penyakit yang aku deritai ini.

Berikut ialah zikir-zikir tersebut untuk waktu malam :-
  •  Alfatihah 21 kali
  • Doa Rawatan Ulangan Darusyifa

Semoga sama-sama dapat beramal. Tingkatkan keyakinan diri kita. Allah menguji diri kita dengan penyakit kerana Dia sayang dengan kita. Betapa ramai orang yang Allah anugerahkan kesihatan berpanjangan, menjadi bongkak dan takbur. Kita minta dijauhkan oleh Allah menjadi seperti Firaun yang terlampau bongkak dan takbur dengan kesihatan dan kekuatan yang dimiliki.

Yakinlah, rasa sakit ini adalah penghapus dosa yang kita lakukan sebelum ini. Bahkan kita akan mendapat pahala yang besar dengan syarat kita bersabar. Senyumlah sentiasa kerana kita menjadi manusia pilihan Allah.

Bagi yang diuji dengan penyakit, pesan saya hanya satu. Ini ditujukan istimewa untuk diri sendiri yang seringkali terlupa. Marilah sama-sama kita banyakkan beristighfar. Mohon ampun kepada Allah atas segala kesilapan yang pernah kita lakukan. Marilah sama-sama kita berubah ke arah yang lebih baik. Sama-sama koreksi diri, cuba solat pada awal waktu dan menjaga aurat dengan sesempurna mungkin.

Saya berdoa agar Allah menjadikan tulisan ini bermanfaat kepada yang membacanya dan dijauhkan daripada penyakit hati riyak dan takabur. Perkenankanlah.

Thursday, 9 April 2015

Stress penyebab kanser



Seringkali membaca info dari internet, penyakit kanser dikaitkan dengan stress. Saya setuju dengan kenyataan ini. Ya, dulu memang saya seorang yang cepat stress dengan persekitaran. Sehinggakan anak sulung meberikan kad istimewa untuk emaknya, senyum itu satu sedekah. Ish2, adakah saya terlampau serius bekerja sehinggakan tidak senyum?

Dulu saya merupakan seorang penjual beroperasi daripada rumah. Ya, menggunakan internet, semuanya kelihatan mudah. Alhamdulillah, pendapatan bulanan juga boleh tahan. Berjumlah 4 angka yang besar. Alhamdulillah atas rezeki Allah berikan. Namun begitu, saya terlupa tentang kesihatan diri sendiri. Seringkali terkejar-kejar dengan order yang tidak putus-putus masuk. Terkejar-kejar pula untuk mengambil anak balik sekolah pada waktu tengahari dan petang. Pada waktu itu, saya tidak merasa sakit. Hanya kadangkala kepenatan yang rasanya normal seperti ibu lain juga. Jadi saya merasakan semuanya normal sahaja. Bertahun-tahun keadaan begini. Sejak 2005 di Pasir Gudang sehinggalah berpindah ke Bangi beberapa tahun lepas.

Kuasa tuhan mengatasi segalanya. Akhir tahun 2013 saya mengalami sawan ketika di dalam kereta. Mujurlah suami yang memandu ketika itu. Dipendekkan cerita, saya didiagnos sebagai pesakit kanser otak tahap 2 dan kemudian dibedah pada November 2014. Sehingga sekarang masih belum dibenarkan memandu lagi atas alasan sawan.

Saya tertanya-tanya sendiri, kenapa saya boleh terkena penyakit yang ditakuti ramai ini? Adakah kerana faktor pemakanan? Mungkin juga, kerana dulu saya sangat suka makan daging lembu. Daging lembu adalah sangat berasid yang membolehkan berlakunya pertumbuhan kanser.

Saya berfikir lagi. Saya ketemui jawapannya, iaitu faktor stress. Lalu saya terkenangkan kisah lalu, betapa saya sering memarahi anak-anak ketika sedang sibuk menguruskan perniagaan. Kadang-kadang bukan marah apa sangat pun. Cuma kita rasa sedikit terganggu apabila anak-anak kerap inginkan perhatian apabila kita sedang sibuk mempromosi barang jualan.  Jadi ingat ya ibu-ibu sekalian. Anak-anak adalah anugerah Allah yang berharga. Usah dimarahi mereka kerana yang akan rugi adalah diri kita juga. Apabila kita marah (baca = stress), diri kita akan mudah terkena penyakit-penyakit kronik seperti kanser. Harus diingat, penyakit kanser biasanya hanya boleh dikesan pada tahap akhir dan biasanya sudah tidak mempunyai masa yang lama. Cuma saya antara yang beruntung, kerana tahu pada tahap dua dan boleh berubat. Terima kasih pada sawan walaupun ia menyakitkan. Terima kasih Allah kerana memberikan sesuatu yang kena pada tempatnya, walaupun pada hakikatnya kita tak menyukainya.

Sekarang ini pun saya masih juga mengalami sedikit stress. Menurut doktor, tumor saya berada di bahagian emosi. Jadi kebiasaannya memang emosi akan mudah terganggu. Betul lah tu. Stress menyebabkan kanser. Kanser ini pula menyebabkan stress. Saling bersangkut-paut. Jadi, jangan marah saya ya jika sesekali emosi kurang stabil sedikit. Dah ada kecacatan sedikit di bahagian emosi. Jangan terasa hati juga. Kadang-kadang saya lupa.

Namun begitu, saya perlu berusaha sebaik mungkin untuk tidak lagi stress. Jika saya stress, sel kanser ini akan terus membesar. Itu apa yang saya faham. Apa yang saya perlu lakukan ialah menolak jauh-jauh stress dalam hidup ini. Banyakkan bergelak ketawa. Banyakkan senyum. Banyakkan bersyukur dengan apa yang ada. Banyakkan melakukan apa yang saya suka seperti membaca. Banyakkan memberi kepada yang memerlukan.

Ada juga tip yang saya peroleh hari internet, cuba senyum semanis mungkin selama 10 saat. Anda akan rasakan sedikit stress di dalam badan akan hilang begitu sahaja. Cubalah. Saya telah cuba dan saya nikmatinya.

Stress juga disebabkan badan terlampau penat dengan tugas-tugas harian. Sekarang saya kembali mengamalkan makanan tambahan untuk memulihkan kembali sel-sel badan saya supaya kembali normal. Sel kanser adalah sel yang rosak. Alhamdulillah setelah mengamalkan selama beberapa bulan, badan saya rasa kembali bertenaga. Saya juga sembuh dengan cepat selepas pembedahan. Bagi saya, pada saat ini, kesihatan yang paling penting. Biarpun ekonomi keluarga agak tergugat selepas saya tidak menjalankan perniagaan lagi, namun saya redha. Rezeki Allah itu luas, ada di mana-mana. Biarlah wang keluar banyak untuk pelbagai jenis makanan antikanser yang perlu saya makan setiap hari. Saya yakin rezeki Allah itu ada di mana-mana.