Saturday, 6 June 2015

Minda Positif




     Dulu-dulu saya tidak suka dengan perkataan kanser. Ini kerana bagi saya kanser itu kematian. Bolehkah semua faham perasaan saya apabila seawal usia 32 tahun telah didiagnos dengan kanser otak? Memang saya sentiasa merasakan putus harap dan sentiasa rasa bahawa saya akan mati pada bila-bila masa sahaja. Lebih-lebih lagi drama melayu kita suka sangat kaitkan kematian dengan penyakit barah otak. Aih, lemah semangat sungguh!

     Namun begitu, lama-kelamaan ia berubah. Saya cuba menerima takdir ini. Saya belajar menerima hakikat ini. Saya cuba bersyukur kepada Allah kerana hadiah kanser ini. Alhamdulillah ia dapat dikesan seawal stage 2, yang masih boleh untuk berubat lagi. Terima kasih kepada orang-orang terdekat yang sentiasa menguatkan hati ini.

     Semasa saya masih dalam proses nak terima hakikat ini, saya telah pergi berubat dengan seorang Ustaz di Kajang. Beliau telah memberikan beberapa bacaan ayat quran untuk diamalkan. Orangnya tua dan sudah pencen. Ustaz ni asalnya seorang ahli perniagaan berjaya, namun di akhir usianya ini beliau memilih untuk mendalami ilmu agama dan seterusnya berkongsi ilmunya dengan yang memerlukan. Apabila sampai di rumahnya, saya terkejut sedikit apabila melihatnya rumahnya sebuah rumah banglo besar, menggambarkan kekayaan yang dimilikinya.  Di dalam rumahnya, disediakan satu ruang khas untuk berubat dengan membaca ayat Al-Quran.

     Ustaz ini mengatakan anak-anaknya sentiasa bertanya kepadanya, buat apa susah-susah untuk mengubat orang di usia tua sebegini (Saya agak usianya dalam 60-an). Bukankah elok duduk berehat sahaja di rumah sambil melayan anak cucu. Sambil tergelak, Ustaz menjawab ini sebagai satu cara untuk lebih rapat dengan Allah. Bukankah dengan membaca Quran itu akan memberi pahala? Saya tergelak juga, namun dalam hati berkata, Ustaz ok lah, yang sakitnya saya, Ustaz hanya tolong merawat sahaja.

     Bagaikan mendengar isi hati saya, Ustaz menyambung, “Awak nak takut apa, semua orang kan akan mati. Saya pun akan mati. Entah-entah saya yang pergi dahulu. Sakit kanser bukan penyebab kematian. Kita mati kerana ajal sudah tiba”  Allahu Rabbi. Tersentak saya seketika. Di dalam hati saya asyik berfikir saya akan mati kerana sakit kanser ini. Padahal semua orang pasti akan mati tanpa mengira berpenyakit atau tidak. Sepatutnya yang berpenyakit ini lebih bersyukur kerana hadiah kesakitan yang Allah berikan kepadanya boleh menghapuskan dosa dan menaikkan darjatnya dengan syarat dia bersabar dan redha dengan takdir Allah.

     Untuk makluman juga, Ustaz ini tidak mengenakan sebarang bayaran. Kami cuba menghulur sedikit wang tanda terima kasih kami atas masa beliau. Lama juga, hampir 2 jam untuk satu sesi. Ustaz hanya tersenyum. Dia menjawab, kurniaan Allah kepadanya sudah banyak, sedekahkanlah duit itu kepada yang lebih memerlukan. Kami hanya tersenyum. Insya Allah dengan izin Allah, jika selepas ini ada yang memerlukan bantuan kami, pasti akan kami berikan tanpa balasan.

     Jadi, bagi semua pesakit kanser di luar sana. Percayalah, kita apa yang kita fikirkan. Fikirkan bahawa kita sihat, Insya Allah dengan izin Allah pasti kita akan sihat. Berusaha lawan penyakit ini. Ubahlah minda kita menjadi minda positif. Usah terlampau berfikiran negatif. Yang penting, jadikanlah sakit yang kita ada ini sebagai satu lonjakan untuk kita berubah ke arah yang lebih baik. Banyakkan senyum. Banyakkan bersenam. Jaga pemakanan.     

     Bagaimana untuk mendapat minda yang positif? Ini cara saya.


  • Seawal pagi apabila bangun daripada tidur, panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana lagi sehari Allah benarkan kita bernafas di bumi ini. Inilah hikmahnya apabila kita membaca doa bangun dari tidur.


Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepadaNya kami semua akan kembali.

Bagi yang tak hafal bahasa arabnya, cukuplah sekadar niat di dalam hati di dalam bahasa melayu. Hadirkan di dalam hati, terima kasih Ya Allah kerana menghidupkan kami lagi sehari pada hari ini setelah Engkau tidurkan (baca: mati sementara) kami.  Hanya kepada Engkau kami kembali.

Hadirkan juga di dalam hati, betapa ramai nyawa manusia yang Allah telah ambil ketika tidurnya. Saya sendiri ketika kecil dulu pernah seorang saudara terdekat, masih muda orangnya, apabila dikejut pada waktu pagi, sudah tidak jaga lagi kerana Allah telah mengambil nyawanya ketika tidur. Kami sekeluarga memang terkejut besar kerana arwah sepanjang yang kami kenal adalah seorang yang sihat.


  • Solat dhuha sekurang-kurangnya 2 rakaat dengan hadirkan rasa bersyukur di dalam hati. Badan manusia mempunyai 360 sendi. Cuba bayangkan jika satu sendi di tangan tidak berfungsi, bagaimana kita nak memegang barang? Antara cara kita bersyukur ialah dengan menunaikan solat dhuha setiap hari tanpa tertinggal.
  • Jaga solat di awal waktu bagi perempuan dan bagi lelaki cuba usahakan untuk solat berjemaah di masjid atau surau berdekatan. Cuba untuk solat rawatib bagi menampung kekurangan solat fardhu. 
  • Sentiasa fikirkan bahawa SAYA SIHAT. Bayangkan di dalam minda kita diri kita dalam keadaan yang sangat sihat.
  • Banyakkan berdoa kepada Allah lebih-lebih lagi pada waktu makbul doa. Ya Allah Ya Tuhanku, sihatkanlah diriku supaya dapat menjaga keluargaku dan beribadah kepada-Mu dengan lebih banyak.
  • Banyakkan istighfar dan sedekah. Setiap kali sedekah, berdoalah kepada Allah, terimalah sedekah ku ini dan sembuhkanlah penyakit ku ini.
  • Sebelum tidur, hadirkan di dalam hati satu pengharapan kepada Allah. Sembuhkanlah diriku Ya Allah. Jadikanlah diriku sebagai orang yang sihat walafiat. Jadikanlah diriku sebagai orang yang sentiasa menjaga solat.

     Ini antara cara saya mengekalkan minda positif. Pendek kata, setiap masa panjatkanlah setinggi-tinggi harapan dan doa kepada Allah supaya Allah menyembuhkan sakit ini. Setiap masa fikirlah bahawasanya kita adalah orang yang sihat. Walaupun terasa sedikit kesakitan, ubahlah minda dengan bersyukur kepada Allah. Sedikit sahaja ini, orang lain lagi teruk diuji oleh Allah.