Apa yang membuatkan saya rasa gembira? Hehe, begitu subjektif soalan itu. Antara perkara yang membuatkan saya rasa gembira ialah apabila dapat menelefon emak di kampung. Seronok rasanya mendengar suaranya. Saya juga akan tergelak-gelak secara sendirinya walaupun tak kelakar pun sebenarnya. Selepas menelefon, saya seperti mendapat tenaga baru untuk membuat pelbagai perkara yang saya sukai.
Nak tergelak pun ada sebenarnya apabila timbul idea untuk saya sendiri jadi model bagi tudung yang dijual. Kawan-kawan rapat dan adik-beradik memang terkejut besar agaknya. Hehe. Sebenarnya saya suka-suka sahaja tu. Kata orang, bagilah can. Selepas sesi bergambar tu, tiba-tiba saya merasakan satu perasaan sangat gembira menyelinap ke dalam diri. Terasa bertambah keyakinan diri. Tidak tahu kenapa. Agaknya rasa gembira kerana seolah-olah menjadi model. Konon-konon perasan cantik lah tu! Sekali lagi, bagilah can!
Hujung minggu lepas, saya beriadah di taman bersama-sama keluarga. Setelah penat jogging (baca:separuh jogging,separuh berjalan) , suami mengajak saya naik basikal sewa. Pada mulanya saya keberatan kerana memang dah lama sangat tak naik basikal. Kali terakhir kalau tak silap masa sekolah menengah dulu. Namun, akhirnya kami naik juga. Wah, memang rasa sangat seronok! Terasa kembali ke zaman muda-muda dulu. Saya gelak sepanjang 15 minit kami sewa basikal itu.
Tidak dapat dinafikan, berzikir juga mampu memberikan kegembiraan di dalam hati. Namun begitu, agaknya saya belum sampai tahap ini. Setiap hari, zikir yang saya baca memberikan ketenangan di dalam hati. Insya Allah, dengan izin Allah jua, saya akan dapat jua rasa kegembiraan apabila membaca zikir selepas satu masa yang Allah tetapkan. Semoga saya dapat mencapai tahap ini. Tahap yang seperti orang kata, kenyang dengan zikrullah.
Jadi, saya merasakan sangat penting untuk kita mengetahui apa yang boleh membuatkan kita gembira. Gembira bukan yang gembira biasa-biasa, tetapi pada tahap adanya ‘adreanaline rush’ . Cuba satu-satu apa yang boleh, namun masih dalam lingkungan syara’. Jangan pula tiba-tiba kita yang dah elok-elok memakai tudung, buang pula tudung di kepala semata-mata nak rasa perasaan gembira ini. Untuk ibu-ibu di rumah pun, cuba cari paling kurang satu aktiviti yang membuatkan diri rasa gembira. Cari kelainan. Ada seorang kawan saya melancong ke luar negara sekejap dengan kawan-kawan perempuan. Anak-anak ditinggalkan dengan suami. Lari daripada kebiasaan .
Cuba cari kegembiraan yang boleh menggembirakan kita. Hidup kita bukan untuk hidup yang tidak gembira. Usahakan untuk sentiasa senyum sepanjang masa dan rasa gembira. Kita adalah apa yang kita rasa. Jika kita gembira, percayalah kita akan lebih sihat dan hidup kita akan lebih bermakna.